Kes saman fitnah Ismail Sabri – Anina dibicara 1 Oktober

0
2

PERBICARAAN kes saman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap bekas Ketua Wanita Bersatu, Anina Saadudin ditetapkan pada 1 Oktober ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Anina mendapatkan peguam untuk mengendalikan kes berkenaan.

“Saya minta satu hari dulu…arahan saya penyata saksi hendaklah difailkan selewat-lewatnya dua minggu sebelum tarikh bicara.

“Maka penyata saksi pada 17 September, seterusnya isu-isu untuk dibicarakan hendaklah difailkan pada 17 Ogos,” kata Mohd Firuz seperti dilaporkan Malaysia Gazette hari ini.

Terdahulu, Anina menyatakan kehadirannya ke mahkamah pagi tadi adalah bagi menyatakan pembelaan serta percaya bahawa mahkamah akan berlaku adil serta tempat untuk beliau bercakap benar.

Beliau hadir tanpa diwakili peguam memandangkan hanya seorang suri rumah selain berasa malu untuk mendapatkan khidmat peguam bagi kes-kes seperti itu.

Menurutnya, hantaran berkaitan Menteri Pertahanan yang dimuat naik di laman sosialnya sudah dipadam dalam tempoh 24 jam sebagaimana yang disebutkan tuntutan dibuat terhadapnya.

Pada 11 Mac lalu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memfailkan saman terhadap Anina atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi Facebook mengatakan beliau tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selaku plaintif Ismail Sabri memfailkan saman fitnah itu dalam kapasiti peribadinya menerusi Tetuan Kesavan pada 5 Mac lalu dengan menamakan Anina, selaku defendan tunggal.

Dalam penyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah dan turut memuat naik video di Facebook.

Penyiaran kata-kata fitnah dibuat oleh Anina bermula 5 Feb hingga 3 Mac lalu didakwa turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here