PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) hujung minggu ini adalah medan yang cukup kritikal untuk akar umbi berbicara secara telus dan ikhlas, khususnya berkaitan kelangsungan dan masa depan parti.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata PAU adalah wadah untuk merapatkan saf, kukuhkan kesatuan serta sama-sama menentukan hala tuju yang jelas demi masa depan parti itu.
Perhimpunan kali ini, katanya, mestilah berupaya menyerlahkan kestabilan Umno di setiap peringkat berlandaskan semangat kebersamaan; kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti; serta ketaatan kepada pucuk pimpinan terutama institusi Presiden.
“Kestabilan ini penting sekiranya kita mahu Umno diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara serta dilihat sebagai parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam.
“Kestabilan jugalah akan menentukan jatuh bangun Umno dalam pilihan raya akan datang. Kestabilan jugalah yang Umno boleh tawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang.
“Agenda kesatuan Melayu Islam yang diperjuang Umno di samping kesungguhan membela kaum-kaum lain bukan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan Umno, malah wajib dipertahan demi melakar masa depan Malaysia lebih gemilang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, bekas Naib Presiden Umno itu berkata, semasa bersidang kelak, perwakilan berbincanglah penuh hikmah dan bijaksana serta meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi dan pucuk pimpinan untuk menahkhoda parti ke arah kestabilan yang amat diperlukan sekarang.
“Marilah kita sama-sama berganding usaha dan memanjatkan doa kepada yang Esa, agar Perhimpunan pada hujung minggu ini dapat membawa seluruh kebaikan kepada parti,” katanya. – Malaysiapost

