PAU 2020: Elak ‘Politik Sate’

0
1

AHLI Umno diingatkan supaya mengelak mengamalkan ‘politik sate’ kerana akan merugikan parti, kata Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Norshida Ibrahim.

Menurutnya, ‘politik sate’ adalah perbuatan kipas-mengipas atau membodek dan tikam-menikam antara satu sama lain untuk kepentingan diri.

Justeru, katanya, mereka yang mengamalkan sikap itu akan menyebabkan nama Umno menjadi buruk.

“Jangan dibiarkan politik ‘sate’ meracuni perjuangan di dalam parti dan kita masing-masing perlu elakkan politik ‘sate’ ini kerana kipas-mengipas dan politik menikam sesama sendiri tidak akan ke mana, malah parti serta akar umbi yang sayangkan parti akan menjadi mangsa keadaan tersebut.

“Selain itu, jauhilah dan elakkan fitnah, iri hati, hasad dengki dan cemburu buta sesama sendiri apatah lagi masing-masing menimbulkan syak dan wasangka antara satu dengan yang lain

“Ini kerana ia bukan sahaja memudaratkan perpaduan sesama sendiri, malah boleh menjadi barah dan nanah kepada institusi parti Umno yang kita sayangi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norshida berkata, perkara paling penting dan paksi kepada perjuangan Umno hari ini adalah perpaduan Melayu.

“Sekali lagi ditekankan kuncinya agar parti Melayu keramat ini terus bersemangat waja, kekal utuh dalam muafakat yang dibina secara berhemah sejak sekian lama.

“Membina perpaduan dan meletakkan permuafakatan sesama sendiri sesungguhnya satu perkara yang bukan mudah namun apabila salah percaturan dan istiqamah perjuangan ia boleh menghancur masa depan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perhimpunan Agung Umno adalah masa dan platform untuk Wanita Umno sama-sama menggengam erat tali persaudaraan ukhwah dan tali permuafakatan.

“Di depan kita banyak cabaran yang bakal mendatang. Sekali lagi saya ingin memberi penekanan jauhilah syak wasangka, jauhilah budaya adu domba, iri hati, hasad dengki, cemburu buta antara satu sama lain kerana umumnya terdapat pihak lain di luar sana yang ingin lihat kita berpecah dan kapal yang sedang berlayar terhenti dan karam di tengah lautan.

“Marilah kita sama-sama mendayung kapal yang sedang belayar ini sampai menuju ke destinasi kejayaan yang gemilang.

“Janganlah kita mudah terperangkap dengan mainan-mainan ‘politik sate’ kerana natijahnya tidak akan ke mana,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here