Impian kanak-kanak leukimia naik MPV direalsasikan sempena Hari Polis ke-214

0
1

SAMBUTAN Hari Polis ke-214 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara hari ini menyaksikan impian seorang kanak-kanak menderita leukimia tahap empat untuk menaiki kereta peronda polis (MPV) ditunaikan. 

Adik Muhammad Firash Arryan Muhammad Yusri, 6, dibawa menaiki kenderaan polis itu oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. 

Kanak-kanak terbabit dibawa bersiar sekitar kawasan Kepala Batas. 

Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai impian kanak-kanak itu yang berhajat untuk menaiki MPV berikutan dia begitu berminat dengan profesion polis.

“Sempena Hari Polis ini, kami penuhi impian Muhammad Firash Arryan. Kami bawanya menaiki MPV mengelilingi kawasan sekitar ini.

“Raut wajah Muhammad Firash Arryan cukup menunjukkan yang dia cukup gembira. Kami bangga kerana dapat memberi sedikit kebahagiaan kepadanya.

“Pada masa sama, kami juga bangga dapat membantu masyarakat dalam membanteras jenayah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro. 

Sementara itu, ibu Muhammad Firash Arryan, Aida Royani Abdul Razak, 30, berkata, sejak semalam, anaknya meluahkan rasa teruja untuk bertemu anggota serta pegawai polis selain tidak sabar untuk menaiki MPV.

“Muhammad Firash Arryan cukup berminat dengan bidang kepolisan dan dia cukup teruja apabila tahu akan dibawa menaiki MPV.

“Hari ini, Muhammad Firash Arryan asyik tersenyum. Saya dan suami cukup bersyukur dengan rezeki ini.

“Terima kasih kepada warga PDRM, khasnya warga IPD Seberang Perai Utara yang menunaikan hajatnya walaupun sibuk bertugas. Hanya Allah SWT yang mampu membalas budi baik anda semua,” katanya yang turut sama menaiki MPV berkenaan bersama suaminya, Muhammad Yusri Dani, 31.

Muhammad Firash Arryan disahkan menghidap leukemia pada awal 2019 dan kini, ia mula merebak ke tulang dan otaknya.

Doktor turut memaklumkan yang hati dan limpa Muhammad Firash Arryan sudah membengkak selain turut mengalami pendarahan usus selain lapisan bawah kulit lebam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here