Sungai Muda: Kedah harus mematuhi undang-undang sedia ada

0
1

PULAU Pinang akan mengemukakan bantahan kepada Kerajaan Persekutuan dan memulakan tindakan undang-undang sekiranya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melaksanakan projek yang mengancam bekalan air di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebarang projek yang dilaksanakan oleh Kedah yang melibatkan Sungai Muda, di hulu muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, mesti mematuhi perundangan dan peraturan. 

“Pihaknya akan terus mematuhi undang-undang dalam abstraksi air mentah dari Sungai Muda tanpa pembayaran kepada Kedah. 

“Justeru Kedah juga mesti mematuhi undang-undang negeri dan negara dalam melaksanakan projek yang melibatkan Sungai Muda,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sejak tahun 1973, Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa sebarang pembayaran kepada negeri itu.

“Tiada pembayaran yang berlaku kerana tidak ada alasan perundangan yang bagi Pulau Pinang membayar Kedah. 

“Pulau Pinang tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, MoU atau kontrak untuk membayar Kedah,” katanya.

Tambahnya, Menteri Besar Kedah ini silap jika berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang.

“Sekiranya projek beliau memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang, kita akan bertindak segera untuk menghentikannya serta-merta. 

“Pilihan kita untuk menghentikan projek yang merugikan termasuk: 

Mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan; 

Mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di Parlimen; dan

Mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghentikan projek itu. 

“Sekiranya projeknya menimbulkan penderitaan bagi penduduk Pulau Pinang dan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang, kita mungkin akan saman beliau atas kos dan kerosakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Sanusi bahawa negara ini terdapat dua undang-undang iaitu undang-undang persekutuan dan negeri.

” Mana-mana projek baharu Sungai Muda di Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan. 

“Projek sedemikian tidak boleh memberi kesan buruk atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.776 juta orang di Pulau Pinang.

“Semua skim berkaitan air yang dicadangkan Menteri Besar Kedah juga tertakluk kepada kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Berkemungkinan Kedah juga mungkin memerlukan dana Persekutuan, dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, Menteri Besar Kedah boleh mencadangkan, tetapi Kerajaan Persekutuan dan undang-undang negara boleh melupuskannya. 

Secara ringkasnya, tambah Yeow, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Oleh itu, mengenai Sungai Muda, kita akan terus menegakkan hak riparian Pulau Pinang untuk mengabstrak air mentah, tanpa caj, dari sungai yang mengalir melalui wilayah negeri kita. 

“Kita yakin bahawa Kedah tidak mempunyai hak dari sudut perundangan untuk menuntut apa-apa pembayaran. Inilah sebabnya mengapa kita bersedia untuk berjumpa mereka di mahkamah,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here