PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan akan mewujudkan sistem koordinator di setiap saluran Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kesemua kawasan Parlimen itu sebagai platform gerak-kerja peringkat akar umbi.
Ketuanya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata pihaknya telah menyusun pelan gerak kerja di peringkat akar umbi secara sistematik di seluruh kawasan parlimen yang bakal dilaksanakan secara bersepadu, menyeluruh serta berterusan khususnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, sistem koordinator peringkat parlimen akan diwujudkan dalam masa terdekat sebagai satu platform atau ‘prime mover’ untuk menggalas tanggungjawab bagi mentadbir dan mengkaji setiap permasalahan rakyat setempat.
Katanya, ia bagi mengenalpasti kaedah untuk menyelesaikan segala masalah rakyat dan menjalankan gerak-kerja bantuan rakyat dalam pelbagai segi.
“Selain itu, mewujudkan jentera pilihan raya serta merancang kempen media secara berkesan agar keseluruhan rakyat di Wilayah Persekutuan bakal mendapat pelbagai munafaat secara terus menerus.
“Lapisan pertama sistem koordinator adalah seramai 15 orang dari setiap kawasan parlimen bakal diwujudkan dalam masa terdekat.
“Seterusnya barisan koordinator pertama akan menggandakan tenaga koordinator baru di setiap saluran PDM di semua kawasan parlimen,” katanya.
Beliau berkata, sistem koordinator yang bakal menjadi platform serta teraju utama bagi menggerakkan program rakyat akan dilancarkan sebagai satu pendekatan Pejuang mendampingi rakyat di setiap kawasan parlimen Wilayah Persekutuan secara serentak hinggalah PRU-15.
“Jentera gerak kerja di Wilayah Persekutuan akan bergerak secara sepadu, menyeluruh dan berterusan seolah-olah kita bakal menghadapi PRU-15 keesokan hari.
“Sudah empat hari saya menjelajah untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin akar umbi serta ahli-ahli secara berperingkat-peringkat.
“Kaedah perjumpaan dilakukan secara perkumpulan yang kecil untuk memohon pandangan dari semua pihak sebelum melakarkan satu ‘road map’ bagi Pejuang Wilayah Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

