Gugur kes ahli politik: SPRM tunding jari kepada Tommy? – Puad

0
1

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengulangi desakan meminta supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dilaksana segera.

Desakan itu susulan kenyataan terbaharu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, mendakwa beliau dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa keputusan menggugurkan kes ahli politik tertentu diputuskan Jabatan Peguam Negara.

Mohd Puad berkata, penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki itu sekali gus mewujudkan persoalan bahawa keputusan itu mempunyai kaitan dengan Tommy.

“Menurut Anwar, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki maklum kepada dia keputusan gugurkan kes ahli politik tertentu diputuskan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Ia didedahkan hasil pertemuan antara Anwar Ibrahim dengan Azam Baki semalam.

“Kalau AGC, sudah tentu Tommy Thomas. Dia tuduh Pegawai lain di pejabat AGC sebagai ‘dungu’. Sebab itu kerajaan didesak tubuh segera RCI terhadap Tommy Thomas,” katanya menerusi Facebook.

Mohd Puad berkata, SPRM wajar memberi penjelasan berhubung isu pendakwaan terpilih membabitkan kes 1MDB terhadap ahli politik.

“Anwar mengambil contoh kes ahli politik yang didakwa kerana kononnya menerima duit curi daripada 1MDB.

“Memang jadi persoalan? (Datuk Seri) Ahmad Maslan dan (Tan Sri) Shahrir Samad didakwa, tetapi Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dan (Datuk) Mas Ermieyati terlepas.

“Tetapi bukankah yang menyiasat ialah SPRM? Pada 17 Oktober 2019 Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya umum 80 individu dan entiti dikompoun kerana menerima dana dari 1MDB,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Puad meminta supaya SPRM memohon semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk menyemak semula individu dan entiti yang terlepas daripada dakwaan berkenaan.

“Adakah Tok Pa dan Mas Ermiyatti pulangkan balik wang 1MDB tersebut, sebab itu tidak didakwa? Amat wajar SPRM beri penjelasan.

“Kalau tidak, bolehkah SPRM memohon kepada AGC supaya disemak balik individu dan entiti yang terlepas daripada dakwaan?,” soalnya.

Semalam, Azam berkata, SPRM tidak boleh bertindak melebihi batasan kerana ia dipantau oleh lima panel bebas dan perlu bertindak mengikut bidang kuasa yang diberikan.

Azam berkata, jaminan yang sama turut diberikan kepada Anwar dalam pertemuan di Ibu Pejabat SPRM semalam.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira kira sejam itu, Anwar memohon SPRM untuk lebih tegas dalam melaksanakan agenda membanteras rasuah, terutamanya yang melibatkan pemimpin-pemimpin kanan politik. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here