Kartel PDRM: MUDA desak dedah nama individu terlibat

0
1

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan individu yang terlibat dalam isu kartel dan rasuah seperti didakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

MUDA dalam kenyataan, berkata siasatan yang dijalankan dan hasilnya boleh dijadikan sebagai laporan awam yang dapat diperoleh dan dilihat rakyat.

Malah, MUDA menuntut supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat laporan itu dengan telus dan adil, serta tindakan dikenakan terhadap pihak terlibat.

“MUDA bimbang dengan kenyataan KPN Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Mac 18 2021 seperti yang dilaporkan media bahawa terdapat ‘kartel’ dalaman yang cuba menjatuhkan KPN dalam PDRM.

“KPN juga dalam kenyataan terbaru menyatakan bahawa terdapat gejala rasuah dalam PDRM dan pernah berleluasa sehingga melibatkan KPN yang sebelumnya

“Justeru, PDRM perlu mendedahkan nama individu yang terlibat dalam kartel dan rasuah termasuk melibatkan bekas ketua polis negara, ahli politik serta ahli peniagaan,” kata kenyataan itu.

MUDA berkata, pendedahan KPN itu sangat berat dan mencemaskan kerana ia menunjukkan ada tindakan dan proses rasuah yang membarah sehingga mempengaruhi gerak kerja dan proses pembuatan keputusan dalam PDRM.

“Justeru, MUDA menyokong penuh usaha KPN dalam membanteras kartel yang telah membarah dalam institusi dan budaya PDRM.

“Parti MUDA juga menyatakan kesediaan untuk membantu KPN dan PDRM bagi memastikan kartel ini dapat dibanteras,” kata kenyataan itu.

MUDA berkata, PDRM merupakan antara institusi yang paling utama dan penting dalam pentadbiran negara.

“Ia berfungsi sebagai institusi dan pasukan keselamatan untuk melindungi negara dan masyarakat Malaysia,” katanya.

Semalam, Abdul Hamid mencabar individu terlibat dalam kartel PDRM membuktikan sama ada pendedahan dilakukannya adalah salah.

Beliau menegaskan, pendedahan itu adalah memastikan rakyat mendapat hak mereka dengan perkhidmatan terbaik.

“Kartel yang dimaksudkan bukan kartel Columbia atau Mexico sebaliknya adalah bentuk kumpulan pegawai yang masih tidak insaf dan berfikiran takuk lama dengan cuba memperkasakan diri dengan pasukan mereka sehingga melupakan kerja hakiki dalam PDRM,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/22/kartel-pdrm-saya-cabar-mereka-kpn/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here