Pengarah syarikat didakwa rasuah penguatkuasa KPDNHEP

0
1

SEORANG pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM100,000 kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, tahun lalu.

Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat kuasa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Perbuatan itu dilakukan pada 4 Februari 2020 di sebuah restoran di Seremban 2.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama, lapor Sinar Harian.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa SPRM, Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Malaysiapost

Kredit foto: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here