Faiz Fadzil akui dipanggil polis, nafi tuduhan cabul

0
1

AHLI Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil mengesahkan beliau telah dipanggil untuk siasatan polis pada 18 Mac lalu berkaitan satu laporan terhadapnya.

Ia merujuk laporan media hari ini yang menyebut seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang yang disiasat atas tuduhan mencabul.

Adun Permatang Pasir itu berkata beliau telah memberi kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan nama saya.

“Saya akan meneruskan tugas saya sebagai Adun seperti biasa dan akan terus berjuang untuk menegakkan demokrasi dan keadilan sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan seorang aktivis wanita PKR membuat laporan polis terhadap Adun dari Amanah atas dakwaan mencabul.

Laporan polis terhadap Adun dari sebuah negeri di utara itu dibuat di Subang Jaya minggu lalu.

Kejadian itu dilaporkan berlaku dalam kereta ahli politik berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Aktivis berkenaan menerusi laporannya mendakwa pada mulanya dia bertemu dengan ahli politik itu pada Januari lalu, dan bertemu kali kedua selepas bersetuju untuk makan malam pada hari kelahirannya.

Wanita itu berkata dia bersetuju untuk makan malam bersama kerana “berbesar hati” dibelanja ahli politik tersebut.

Bagaimanapun, dia mendakwa lelaki itu cuba memeluk dan merabanya di dalam kereta ketika menuju ke sebuah restoran.

Menyedari perbuatannya tidak disenangi, lelaki itu kemudian memintanya untuk merahsiakan kejadian tersebut.

Di dalam laporan itu juga, wanita itu mendakwa mengalami “gangguan emosi” sejak kejadian tersebut. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/23/aktivis-wanita-pkr-lapor-polis-dakwa-diraba-adun-amanah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here