BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih di Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51, menafikan beliau terlibat dalam kes cabul isteri rakannya seperti tular di media sosial.
Sebaliknya, Wan Ahmad Nizam berkata laporan polis dibuat pasangan suami isteri dari Taman Melawati, Ampang itu hanya rekaan bertujuan menjatuhkan reputasi serta mengaibkan dirinya, lapor Utusan Malaysia.
Malah, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman itu menegaskan beliau dan isteri tidak pernah bermalam di rumah pasangan tersebut kerana mempunyai kediaman di Kuala Lumpur.
Pada masa sama, beliau mendakwa sudah menjangka perkara itu akan berlaku susulan ugutan awal diterimanya daripada rakannya itu pada Ahad lalu.
Katanya, rakannya itu berhutang RM200,000 dengannya, namun akibat gagal melunaskannya, persahabatan mereka renggang sejak September tahun lalu.
“Ahad lalu kira-kira 4 petang, dia bersama isteri datang ke rumah saya di Geliga, dan katanya untuk berbincang tentang hutang.
“Tetapi tiba-tiba saya ditumbuk dua kali di samping kepala serta badan dibaling dengan pasu bunga secara bertubi-tubi hingga tidak boleh bangun, sebelum dia berlalu pergi.
“Saya maklumkan padanya akan lapor kejadian kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya.
“Tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” katanya.
Wan Ahmad Nizam membuat laporan di Balai Polis Chukai sebelum rakannya itu ditahan polis di Ampang, Jumaat lalu namun dibenar diikat jamin.
Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik, mengesahkan laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Nizam berkata beliau menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung dakwaan cabul oleh pasangan suami isteri tersebut.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat berhubung dakwaan seorang ahli politik bergelar Datuk mencabul isteri rakannya ketika bermalam di rumah pasangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan laporan polis dibuat pada 16 Mac lalu dan kes tersebut dalam siasatan serta akan mengesan saksi yang terlibat. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/21/polis-siasat-ahli-politik-didakwa-cabul-isteri-orang/

