SIASATAN polis terhadap pasangan suami isteri yang didakwa merentas negeri untuk berbulan madu di Johor baru-baru ini, mendapati mereka memberi keterangan palsu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya mendapati wujud keraguan berdasarkan keterangan diberikan pasangan berkenaan pada Sabtu lalu.
“Hasil siasatan polis mendapati pasangan ini memberikan keterangan palsu berkaitan alasan memohon kebenaran rentas negeri.
“Pasangan itu telah membuat persiapan awal dengan membuat tempahan hotel secara dalam talian pada Disember 2020 untuk menyambut ulang tahun perkahwinan mereka pada 17 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, polis membuka kertas siasatan terhadap kedua-duanya mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Pindaan 2021 dan jika disabit kesalahan, boleh dikompaun maksimum RM10,000.
Beliau mengingatkan orang ramai tidak menyalahguna kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk urusan perniagaan, kerja atau kecemasan dengan menjalankan program atau aktiviti peribadi lain.
“Dalam usaha memerangi penularan Covid-19 ini, semua individu seharusnya memainkan peranan dan bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagaimana ditetapkan kerajaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita memuatnaik beberapa gambar di media sosial dan turut berkongsi tip bagaimana mendapat kebenaran polis untuk merentas negeri bagi tujuan berbulan madu.
Susulan itu, polis memanggil pasangan berkenan bagi merekod keterangan berhubung dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP kerana merentas negeri untuk berbulan madu.
Ashari dalam kenyataannya ketika itu berkata, seorang ahli perniagaan tampil bersama isterinya ke Balai Polis Wangsa Maju untuk memohon permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor Bahru, atas urusan perniagaan nya.
Katanya, pasangan terbabit mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat dan berdasarkan dokumen tersebut, permohonan rentas negeri diluluskan. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/21/polis-siasat-suami-isteri-isu-rentas-negeri-untuk-honeymoon/

