KEMELUT melanda Umno ketika ini dengan pelbagai isu dibangkitkan akan dinilai oleh ahlinya dan rakyat yang mengundi kelak.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata perhatian tertumpu kepada yang mendokong parti dan yang cuba memecah-belah parti.
“Ada pihak berhempas pulas menyogok minda ahli dengan maklumat rekaan dan palsu, kononnya si polan si polan ejen Bersatu, pro Bersatu, nak masuk Bersatu dan macam-macam lagi.
“Tapi diam-diam buat kerja sokong Pakatan Harapan (PH), berkomplot dengan pemimpin DAP, sokong Anwar walau amat jelas bercanggah dengan dasar parti dan kehendak akar umbi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mendakwa, ada pihak merasakan mereka saja setia kepada parti, bersemangat parti walau sebenarnya menyebabkan jatuhnya parti dan memburukkan nama baik parti.
“Yang menjadi perkiraan sekarang, apakah mereka sedang membawa obor perjuangan parti, mendokong dasar parti, memperkasa solidariti parti atau sebenarnya menanam bibit perpecahan dalam muafakat antara parti-parti.
“Ini yang sedang diperhati. Siapa sebenarnya setia kepada parti dan siapa membawa kerosakan kepada parti.
“Neratif rekaan akan tetap diperhalusi oleh akar umbi dan rakyat yang mengundi,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/21/kembali-berkuasa-antara-punca-umno-bergolak-annuar/

