TINDAKAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menaikkan nisbah hutang negara kepada 62% adalah menyalahi undang-undang kerana melanggar had yang telah diluluskan Parlimen.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sememangnya tidak salah untuk kerajaan meminjam bagi memberi bantuan kepada rakyat ketika pandemik.
“Namun, kerajaan PN telah mencecah had 60% yang dinaikkan sendiri setelah nisbah hutang sebenar naik ke 62.2% pada akhir tahun 2020
“…dan dijangka mencecah 64.5% pada akhir tahun 2021 dengan jumlah hutang kerajaan sebanyak RM975 bilion (berbanding RM687 bilion sebelum PRU14),” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan dilihat melanggar undang-undang sendiri dengan melanggar had hutang yang telah diusulkan serta diluluskan parlimen.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan PN mengusulkan had hutang itu pada tahun lalu, sekiranya ia tidak penting untuk dipatuhi.
“Kerajaan boleh tipu sendiri dan tipu rakyat tapi kerajaan tidak mampu tipu ahli-ahli ekonomi dan pelabur asing yang tidak akan senang bahawa kerajaan cuba menipu data fiskal negara.
“Sekiranya kerajaan bertukar tangan lagi pada masa hadapan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap menteri-menteri kerajaan PN jika keadaan ini tidak diperbetulkan dan dilulus Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, beliau mengakui tindakan kerajaan melakukan banyak pinjaman ketika tempoh pandemik bagi membantu rakyat adalah tidah salah selagi ia dilulus Parlimen dan tidak menyalahi undang-undang.
“Malah, saya antara orang pertama yang beberapa kali saran kerajaan PN untuk naikkan had hutang kerajaan dari 55% selepas melihat nisbah hutang negara telah naik dari 48.7% masa BN ke 54.4% pada masa kerajaan PH tumbang dan kita mula diancam pandemik.
“Tapi ianya salah jika kerajaan melanggar undang-undang sendiri dan had hutang yang telah diusulkan kerajaan yang kemudiannya diluluskan parlimen,” katanya.
Ogos lalu, Kementerian Kewangan mengusulkan untuk menaikkan had statutori hutang sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus KDNK pada masa sekarang.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Kementerian Kewangan telah membuat bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) 2020 termasuk cadangan menaikkan had statutori hutang tersebut. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

