DAP sedia kerjasama dengan Umno pulihkan Parlimen, tidak untuk pilihan raya

0
1

DAP bersedia bekerjasama dengan Umno tetapi hanya untuk memulihkan peranan Parlimen dan bukan bagi pilihan raya akan datang.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sudah memutuskan tiada kerjasama dengan Umno dan parti tidak mengubah kedudukan dasar itu.

Menurutnya, DAP juga tidak akan bekerjasama dengan pemimpin kleptokrat.

“Kita boleh bekerjasama demi kepentingan rakyat seperti dalam pemerintahan Perak dan Johor yang dipimpin oleh Umno di mana peruntukan diberi kepada kawasan pembangkang. Ada pertemuan dan perbincangan dengan kerajaan negeri Umno mengenai isu-isu rakyat.

“DAP bersedia bekerjasama dengan Ahli Parlimen Umno untuk mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang Parlimen. 

“Ini tidak sama dengan kerjasama politik dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Pulau Pinang hari ini. 

Menurutnya, menyatukan parti yang benar-benar menentang kerajaan PN tidak mudah, namun sebagai permulaan, DAP menggesa semua parti pembangkang dan Ahli Parlimen bersama-sama berusaha memulihkan Parlimen.

Katanya, jika DAP boleh mengadakan perjumpaan lebih 2,000 perwakilan parti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, tiada sebab Parlimen tidak boleh bersidang dengan hanya 222 anggota.

“Kerajaan Pulau Pinang bersedia untuk menegakkan demokrasi berparlimen dengan mengadakan mesyuarat Dewan Undangan Negeri, namun Parlimen dan Dewan Negara terus ditangguhkan,” katanya

Guan Eng berkata, keadaan itu menunjukkan DAP Pulau Pinang lebih demokratik dan berkeupayaan menjadi kerajaan lebih baik berbanding PN. 

“Kita sekarang mempunyai situasi aneh di mana setiap pertubuhan perniagaan, sekolah, pasar malam, bahkan stadium sukan sudah dibuka, kecuali Parlimen,” katanya.

Beliau mendakwa, menteri gagal melakukan tugas mereka, mengakibatkan Malaysia menjadi antara negara yang terburuk di Asean dalam jangkitan Covid-19 dari segi per kapita.

Menurutnya, DAP bagaimanapun masih mahu bekerjasama dengan kerajaan PN supaya wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Itulah sebabnya DAP menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Tetapi apa gunanya membelanjakan RM5 bilion untuk PICK jika Ahli Parlimen tidak dapat bertemu walaupun setelah divaksinasi,” soalnya.

Ahli Parlimen Bagan itu turut menyentuh mengenai isu pindaan Ordinan Darurat yang dilihat perlu dibentangkan di Parlimen termasuk kadar kompaun melanggar SOP dan undang-undang berita palsu. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here