UJIAN makmal yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan tiada bakteria Salmonella Enteritidis (SE) pada konsainan telur eksport oleh Agensi Makanan Singapura (SFA).
DVS menerusi kenyataan berkata, susulan isu pengesanan SE pihak berkuasa Singapura tersebut, DVS telah menjalankan siasatan lanjut ke atas ladang ayam penelur CES 008 kepunyaan syarikat terbabit.
Kata DVS, pengambilan sampel calitan kloaka, calitan najis, sampel telur, makanan dan air minuman daripada ladang ayam penelur tersebut telah diambil untuk ujian
pengesanan SE di Makmal DVS Salak Tinggi.
“Hasil pengujian makmal keatas sampel menunjukkan tiada bakteria Salmonella
dikesan.
“Sehubungan itu, DVS akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak SFA
bagi membincangkan perkara tersebut.
“DVS juga telah menjalankan siasatan dan pengambilan sampel ke atas ladang
CEM 014 untuk ujian pengesanan SE,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Singapura menarik balik telur yang diimport dari sebuah lagi ladang dari Malaysia setelah mengesan kehadiran bakteria SE.
SFA dalam hantaran Facebook yang dikemas kini memaklumkan telur yang terbabit mempunyai cetakan kod “CEM014”.
SFA berkata pihaknya telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik kembali produk tersebut sebagai langkah berjaga-jaga, memandangkan bakteria SE boleh menyebabkan penyakit bawaan jika telur berkenaan dimakan mentah atau tidak dimasak dengan betul.
Sementara itu, DVS berkata pihaknya menerusi Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan akan mempertingkat program pemantauan Salmonella di semua 276 ladang ayam penelur di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan keselamatan telur yang dipasarkan.
“Pencemaran SE dilaporkan berlaku hampir di seluruh dunia. Ia boleh terjadi sama ada di peringkat ladang disebabkan amalan penternakan kurang baik dari aspek biosekuriti dan kebersihan ladang.
“Pencemaran juga boleh berlaku di sepanjang rantaian pemasaran disebabkan pengendalian telur yang kurang bersih.
“Pengguna dinasihatkan supaya memastikan telur yang dibeli bersih, tiada pencemaran najis, disimpan di tempat sesuai dan dimasak dengan sempurna sebelum dimakan. SE boleh musnah pada suhu melebihi 71°C,” katanya. – Malaysiapost

