Letak Allah SWT sebagai yang paling utama, nasihat Zulkifli pada Engku Emran, Nabila

0
1

DATUK Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan pasangan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan Noor Nabila Mohd Noor untuk sentiasa meletakkan Allah SWT sebagai yang paling utama. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, mengingati Allah SWT bukan sahaja ketika senang, malah semasa susah. 

Beliau menasihati demikian kepada pasangan pengantin baharu selebriti itu termasuk kepada dirinya sendiri menerusi khutbah nikah  di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur semalam. 

“Solat adalah tiang utama kebahagiaan keluarga. Kebahagiaan yang menumpukan kepada material hanyalah bersifat sementara manakala bahagia yang sebenar adalah ketika rumahtangga mendapat keredhaan Allah SWT. 

“Cubalah sedaya upaya mencari masa untuk solat berjemaah, membaca al-Quran dan menghadiri majlis ilmu bersama keluarga. Ketika kita sudah tiada, itulah kenangan indah yang bakal ditinggalkan buat anak-anak kita. 

“Sebesar mana pun bahtera, pasti akan dirempuh badai di lautan yang bergelora. Saat itu, mohonlah panduan daripada-Nya. Usah diturutkan hati dan amarah yang membakar. Setiap rintangan pasti ada jalan keluarnya,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya hari ini. 

Zulkifli berkata lelaki yang soleh, sentiasa membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai-Nya. 

Isteri yang solehah pula, katanya, bidadari di hati suami dan ibu yang sentiasa ada saat anak-anak memerlukan pelukan emosi dan cinta. 

“Tahniah kepada kedua mempelai, Engku Emran dan Nabila. Saya sentiasa mendoakan kebaikan dan kerahmatan daripada-Nya sentiasa memayungi rumah tangga anda berdua,” katanya. 

Semalam spekulasi majlis pernikahan Noor Nabila dan Engku Emran akhirnya terjawab, selepas pasangan itu selamat diijab kabul. 

Menerusi laman Instagram selebriti popular, Neelofa menunjukkan pernikahan mereka berdua berlangsung di sebuah masjid. – Malaysiapost 

.

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/19/noor-nabila-engku-emran-sah-bernikah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here