Kenapa negara hadapi terlalu lama gelombang ketiga Covid-19, tanya Kit Siang

0
2

PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membentangkan dua laporan kepada Kabinet minggu depan berhubung penularan wabak Covid-19. 

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, ia mengenai mengapa Malaysia berhadapan gelombang penularan Covid-19 terpanjang dan bagaimana boleh menjayakan serta menyiapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.  

“Semalam, negara kita mencatatkan kadar peningkatan kes baharu Covid-19 yang meningkat kepada 1,576 kes berbanding 1,213 kes pada hari sebelumnya, walaupun negara kita masih berada di bawah paras 2,000 kes sehari untuk 14 hari berturut-turut. 

“Apakah perkara yang menyebabkan negara kita berhadapan  gelombang penularan wabak Covid-19 yang terpanjang dalam dunia. 

“Ini memandangkan gelombang ketiga yang bermula September lalu akibat Pilihan Raya Negeri Sabah masih lagi belum berjaya dikawal sepenuhnya kerana kita belum dapat melihat kadar peningkatan dalam julat tiga dan dua angka sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Menurutnya, laporan mengenai gelombang ketiga itu perlu diterbitkan kepada pihak awam, supaya seluruh negara boleh memanfaatkannya, memandangkan terdapat kerisauan kemungkinan berlaku gelombang keempat.  

“Laporan mengenai bagaimana untuk kita memastikan kejayaan dan penyiapan PICK menjelang tempoh sambutan Hari Kebangsaan-Hari Malaysia juga perlu diterbitkan kepada pihak awam,” katanya.  

Beliau berkata, perhatian khusus perlu diberikan kepada Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, dan Perlis memandangkan kadar pendaftaran penerimaan vaksin di negeri-negeri itu masih belum mencapai 20 peratus. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here