BEKAS Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pengumuman untuk memecat ahli Majlis Tertinggi (MT) yang didakwa membocorkan rahsia parti sebelum proses sewajarnya, adalah tindakan kurang bijak.
Annuar mengakui ramai yang terkejut dengan tindakan Presiden Umno mengumumkan ahli MT akan dipecat keahlian kerana didakwa membocorkan rahsia mesyuarat.
Malah, Annuar berkata, beliau tidak dapat meneka siapa ahli MT yang dimaksudkan Ahmad Zahid itu kerana tidak menghadiri Mesyuarat MT sejak dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barsian Nasional (BN).
“Menurut peraturan, kes disiplin perlu melalui proses pendengaran di hadapan lembaga disiplin. Bagi ahli MT ia boleh diadili oleh sidang MT sendiri.
“Namun mengumumkan keputusan untuk memecat keahlian MT, sebelum proses tertentu di laksanakan, adalah amat tidak bijak dan tidak kena. Malah ia boleh memburukkan lagi nama parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dalam pada itu, Annuar berkata, terdapat individu dalam MT Umno yang diketahui umum sering menulis dan bercakap mengenai keputusan parti itu tapi tidak akan dipecat.
“Terdapat individu dalam MT yang diketahui umum sering menulis dan bercakap tentang keputusan MT.
“Tetapi saya yakin mereka itu tidak akan dipecat kerana sebab musabab yang semua orang tahu.
“Saya hanya mampu berdoa agar kepimpinan kekal tenang dan aman. Kebimbangan saya ialah bila melihat parti semakin retak,semakin tak terarah dan sedang menuju ke ‘nowhere’.
“Kita dilihat penuh bermasaalah,bertelagah dengan semua orang dan akhirnya berselisih sesama sendiri.Musuh sebenar politik tidak pula di serangi,” katanya.
Rabu lalu, media melaporkan dua ahli MT Umno yang dikatakan dalang sering membocorkan rahsia mesyuarat MT, sudah dikenal pasti.
Difahamkan, menurut sumber, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ahmad Zahid dalam ucapan di hadapan para ketua bahagian dan sayap Pemuda dan Puteri di Melaka.
“Ahmad Zahid maklumkan dua MT iaitu masing-masing lelaki dan wanita dikenal pasti hasil siasatan dilakukan.
“Umno tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba menghancurkan parti.
“Presiden Umno akan umumkan nama mereka tidak lama lagi serta tindakan yang mungkin diambil iaitu memecat keahlian mereka daripada parti,” katanya seperti dipetik akhbar berkenaan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:https://malaysiapost.com.my/2021/03/17/umno-kenalpasti-dua-mt-sering-bocor-maklumat-parti/

