
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta supaya menjelaskan tujuan utama pengukuhan blok pembangkang termasuk berkerjasama dengan Umno, Muda dan Warisan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata Anwar yang juga Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu menerangkan sama ada kerjasama dikatakan itu bertujuan mengambil kembali mandat rakyat atau sebagainya.
“Tidak salah untuk mengingatkan supaya kukuhkan kita kerana sekian lama dalam politik itulah slogan yang didengungkan. Demikian yang dilakukan oleh beberapa di kalangan Ahli Parlimen (MP) pembangkang dari Amanah, DAP, Muda dan Warisan mengingatkan Ketua Pembangkang.
“Namun demikian, kita perlu menjangkau lewat slogan dan retorik kepada soalan lebih mendasar, iaitu apakah tujuan utama seruan pengukuhan pembangkang? Kita harus menghayati apakah dia ‘big picture’ yang kita perlu nampak sebalik seruan kukuhkan kita. Jelaskah kita?
“Kita sebagai rakan setia dalam Amanah, Keadilan dan DAP telah membuktikan kesatuan kita. Kita menjayakan usaha mengambil mandat kembali di kalangan 220 MP yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan saya yakin semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mempersoalkan apa tujuan utama mensasarkan ahli-ahli parlimen Umno supaya turut sama dalam usaha mengembalikan mandat rakyat.
“Adakah demi meyakinkan mereka keperluan ambil mandat semula? Apakah kita mengajak mereka sebagai ahli parti kleptokrat ataukah kita mengajak mereka untuk selamatkan prinsip demokrasi? Kita juga meyakinkan Warisan dan Pejuang atas nada dan nafas yang sama walaupun parti tersebut ada isu dengan Anwar.
“Kenapa semasa kita bercakap tentang ‘Grand Coalition’ (Kerjasama Besar Politik) kita cuba kesampingkan potensi pihak lain termasuk Umno? Ataukah kita sempitkan yang ‘Grand’ itu kepada pilihan tertentu sahaja? Mana kejelasan kita dalam membawa agenda yang kerananya kita memerlukan kerjasama besar-besaran politik?,” soalnya lagi.
Menurutnya, tujuan utama bukanlah hendak menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) tetapi hendak menamatkan politik jelik, kotor dan rasuah yang diamalkan oleh PN untuk kekalkan pengkhiantan mereka.
“Kenapa kita isyaratkan tidak mahu kerjasama dengan parti kleptokrasi? Apakah kita lebih lemah dari kleptokrasi hari ini? Bukankah kita telah membuktikan agenda kita lebih besar dari agenda kleptokrasi?,” soalnya.
Mujahid berkata, pembangkang perlu mengukuhkan kejelasan tujuan gabungan terlebih dahulu supaya dapat bersama memulihkan demokrasi dan sembuhkan negara dari para perosak negara dan pencabul prinsip demokrasi.
“Kita melawan atas prinsip nilai bukan membabi-buta! Kejelasan inilah yang merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi dalam membina kerjasama kita dengan semua pihak termasuk Umno. Kita bertemu dengan agenda besar bukan agenda peribadi. Begitulah juga kita mendekati Bersatu diambang PRU14. Kini jelas siapa yang membelakangkan agenda besar kita,” katanya
Beliau berkata, dengan mengisyaratkan fokus mengkukuhkan Pembangkang, ia telah membuat percanggahan kepada kenyataan Grand Coalition yang awal.
“Bukankah dengan berjumpa semua pihak itu mampu mengkukuhkan kita dan akan menjayakan Grand Coalition kita? Kenapa kita disekat dengan istilah parti kleptokrasi dan kluster mahkamah? Bukankah perkara ini telah ditegaskan beberapa kali dalam kenyataan bersama Majlis Presiden PH bahawa tiada kompromi kepada kes mahkamah yang sedang berjalan dan perlu menerima asas reformasi yang kita aspirasikan bersama.
“Sebab itu saya bertanya apa tujuan semua ini? Jika kita meletakkan pembangkang lawan PN kita tidak akan meramaikan penyokong, tetapi jika kita letakkan landasan ‘ayuh bersama tamatkan kejelikan politik dan pulihkan demokrasi’ maka pasti ada di kalangan parti politik lain yang akan bersama kita termasuk Umno. Itulah semangat Grand Coalition.
“Untuk rekod, sepanjang sejarah BA, PR dan PH tidak ada kerjasama politik yang termetrai melainkan dengan syarat dan komitmen agenda reform yang menjadi teras perjanjian. Pas, Bersatu tinggalkan kita kerana tidak ada iltizam dengan semangat reform dan tidak istiqamah. Amanah, DAP dan Keadilan solid kerana meyakini agenda reform,” katanya – Malaysiapost
