Tawaran lompat parti: ‘Kalau betul ada bukti lapor SPRM’

0
1

KETUA Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya yang mendakwa ditawarkan habuan oleh ‘individu’ dari parti itu untuk lompat parti, sebagai fitnah politik.

Wan Saiful yang membidas kenyataan itu turut menyifatkan tindakan Karupaiya itu sebagai strategi pembangkang bagi memburukkan Bersatu dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Nampaknya pembangkang masih tak habis-habis dengan budaya fitnah. Strategi memburukkan kerajaan, menimbulkan keraguan, dan melontar tohmahan ini memang sudah lama jadi amalan mereka.

“Kali ini ada MP PKR dakwa seorang yang tak dikenali bernama Azhar hubungi dia dan tawarkan bagi pihak parti. Siapa Azhar ini? Dia parti mana? Dalam MPT Bersatu tak ada orang bernama Azhar. Entah siapa yang hubungi dia, tiba-tiba nak fitnah orang lain pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, Karupaiya sepatutnya tahu bahawa jika indidvidu itu bukan wakil rasmi maka ia tidak boleh dianggap mewakili sesuatu parti.

“Seorang MP sepatutnya tahu bahawa kalau bukan wakil rasmi parti, maka itu bukan parti lah maksudnya. Jangan lah gunakan taktik cuba kaitkan parti dengan ‘stranger’ yang datang entah dari mana atau dicipta sendiri.

“Budaya politik fitnah ini, hentikanlah. Kalau betul ada bukti, laporkan kepada polis dan SPRM. Biar disiasat sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, hakikatnya, PKR sedang runtuh kerana ahlinya sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap parti itu.

“Krisis dalaman PKR amat besar dan sedang membarah. Selesaikanlah dalam parti sendiri. Jangan ubah topik dan larikan perhatian dengan cara memfitnah,” katanya.

Terdahulu, Karupaiya mendakwa beliau dihubungi individu bernama Azhar yang membuat tawaran menyertai Bersatu serta berjanji untuk menyalurkan peruntukan dan kontrak sekiranya bersetuju untuk lompat parti dan menyokong kerajaan PN.

Bagaimanapun, Karupaiya menjelaskan beliau menolak tawaran berkenaan dan memberitahu lelaki itu dirinya masih setia kepada perjuangan parti.

Katanya, keputusan tidak melompat parti, seperti dilakukan segelintir wakil rakyat lain, itu turut disenangi oleh rakyat.

“Ada orang ‘call’ saya dari Putrajaya, dia kenalkan diri sebagai Azhar. Saya tidak pasti nama samaran atau apa, saya tidak tahu.

“Dia ingin tawarkan saya sertai PPBM. Dia kata akan bagi tawaran peruntukan yang lebih baik, kontrak dan sebagainya.

“Tetapi saya tolak, saya beritahu saya setia kepada parti,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here