Najib batal temujanji vaksinasi – KJ

0
1
Pix via Malaysiapost

Ketika Datuk Seri Najib Razak mempersoal jumlah penerima dos vaksinasi di Malaysia yang didakwanya rendah, Khairy Jamaluddin mendedahkan Ahli Parlimen Pekan itu membatalkan temujanji vaksinasi ditetapkan kepadanya pada 6 Mac lalu di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan.

Menjawab satu hantaran dimuat naik Najib di Facebook hari ini, Khairy selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap bekas Perdana Menteri itu dapat hadir pada temujanji yang akan ditetapkan sekali lagi nanti.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri yang sentiasa memberi teguran dan pandangan menerusi hantaran Facebook Datuk Seri untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Pada masa sama, saya berharap Datuk Seri dapat membantu menggalak pendaftaran vaksinasi lebih-lebih lagi kepada rakyat di Pekan, memandangkan buat masa ini, hanya 13,020 orang penduduk (bersamaan 14.4 orang per kapita) di daerah itu yang telah mendaftar.

“Jangan tulis dan promosi di FB sahaja, tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran.

“Hanya dengan pendaftaran yang tinggi akan memungkinkan PICK ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya yang menulis di ruangan komen pada hantaran Facebook berkenaan.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata sebelum ini beliau telah beberapa kali menjawab persoalan dibangkitkan Najib berkaitan jumlah vaksinasi harian.

Katanya, jumlah 150,000 hingga 160,000 penerima vaksin disasarkan pada pertengahan tahun iaitu Fasa 3 apabila lebih banyak bekalan diterima dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka.

“Tapi nampaknya, penjelasan saya mungkin tidak berjaya memuaskan hati Datuk Seri (Najib). Tetapi tidak mengapa, minggu hadapan.kita akan mengadakan taklimat kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Surat jemputan telahpun dihantar dan disahkan diterima oleh pegawai Datuk Seri.

“Surat jemputan menerusi emel serta WhatsApp kepada pegawai Datuk Seri juga telah dihantar.

“Jadi saya berharap Datuk Seri dapat hadir pada hari tersebut dan boleh terus memberi pandangan atau lontarkan persoalan berkenaan PICK ini,” katanya lagi.

Terdahulu Najib menerusi hantaran tersebut berkata kadar pemberian dos setakat semalam masih rendah dan jika tidak dinaikkan, Malaysia akan memerlukan masa 2,345 hari atau 6.4 tahun sebelum berjaya memberi vaksin kepada 80 peratus penduduk untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar sekarang.


Ia juga kata Najib, lambat jika dibandingkan dengan banyak negara lain dan berharap kadar pemberian vaksin Malaysia akan dinaikkan dengan berkali ganda lebih tinggi lagi pada bulan-bulan akan datang.

Sementara itu dalam hantaran terbaharunya, Najib pula membalas kenyataan Khairy dengan menyatakan mengapa beliau tidak boleh memberi laluan kepada petugas barisan hadapan untuk menerima vaksin terlebih dahulu.

“Mungkin saya perlu buat sidang media terlebih dahulu kot,” katanya.

Khairy sekali lagi menjawab pada ruangan komen: “Saya dan Datuk Seri tahu, itu bukan sebabnya.” -Malaysiapost


Artikel berkaitan:

  1. https://malaysiapost.com.my/2021/03/10/vaksin-najib-minta-kj-terima-kritikan-akui-kadar-vaksinasi-perlu-dipercepat/
  2. https://malaysiapost.com.my/2021/03/11/vaksin-kj-akan-jawab-semua-soalan-najib-dalam-taklimat-pick-ahli-parlimen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here