Illi Najwa masih Islam

0
1

Nurul Huda Abhar

JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan Illi Najwa Anuar Hussein Saddique, wanita Malaysia yang berkahwin dengan kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar tahun lalu, masih beragama Islam.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata status agama Illi Najwa masih Islam diputuskan berdasarkan siasatan secara menyeluruh yang telah dijalankan oleh JAINJ.

“Pihak JAINJ telah memanggil Illi Najwa bersama ibunya serta beberapa saksi lain dan keterangan juga diambil daripada mereka.

“Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar dari Islam, malah pada hari ini beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama kami untuk mengadap Baginda Tuanku Sultan,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik di Facebook Sultan Johor hari ini.

Hari ini, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima mengadap Illi Najwa di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Turut mengadap, Mufti Johor dan Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Shamsudin

Sementara itu, Yahya berkata, pendaftaran perkahwinan pasangan itu di Johor Bahru kini dalam proses.

“Tiada ada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai,” katanya.

Disember lalu, Sultan Johor menitahkan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita itu susulan kontroversi perkahwinannya dengan kapten hoki India.

Sultan Ibrahim bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Johor, Baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan. – Malaysiapost


Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/18/isu-perkahwinan-kapten-hoki-india-dan-wanita-malaysia-masih-disiasat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here