RAPID KL akan memperkenalkan dua laluan bas perantara baharu ke stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong bermula hari ini.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan berkata, ia hasil kerjasama di antara Rapid Rail, operator perkhidmatan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel, dan Rapid Bus, pengendali perkhidmatan bas perantara Rapid KL.
“Ini akan menghubungkan kawasan-kawasan komuniti di sekitar Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong bermula 18 Mac 2021.
“Laluan baharu bas perantara (T582) ke Stesen LRT Sri Petaling merangkumi kawasan utama Bandar Baru Sri Petaling, Taman Bukit Intan dan Stadium Hoki Bukit Jalil
“Manakala laluan baharu bas perantara (T605) ke Stesen LRT Bandar Puteri Puchong merangkumi jajaran kawasan Bandar Puteri Puchong, Puchong Hartamas, Kampung Pasir Puchong dan Puteri 11,” kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, kini komuniti penduduk di sekitar kawasan Sri Petaling dan Bandar Puteri mempunyai pilihan penjimatan dari segi kos bahan api kenderaan, tol serta bayaran parkir.
Katanya, mereka boleh menggunakan perkhidmatan bas perantara baharu yang melalui kawasan-kawasan perumahan utama dengan tambang serendah RM1.
Sementara itu, katanya, bagi meningkatkan kemudahan merancang perjalanan dan keselesaan pengguna perkhidmatan rangkaian rel dan bas Rapid KL, para pengguna digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE.
“Selain memberikan pilihan perjalanan yang terbaik untuk seorang pengguna, aplikasi PULSE juga turut menyediakan maklumat tentang status perkhidmatan setiap mod perkhidmatan Prasarana dan jangkaan masa ketibaan atau ‘Estimated Time of Arrival’ (ETA).
“Ia juga akan memberikan waktu sebenar atau ‘real time’ untuk lokasi-lokasi bas dan juga tren. Aplikasi ini boleh dimuat turun dari ‘Google Play Store’ dan di ‘Apple App Store’,” ujarnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/10/21/rapid-kl-kekal-waktu-operasi-seperti-biasa-dalam-tempoh-pkpb/

