PENGURUSAN Sabah FC mengeluarkan amaran keras kepada ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan prestasi hambar skuad Sang Badak dalam Liga Super.
Selepas empat perlawanan, Sabah FC hanya mengutip satu mata hasil keputusan seri dengan Melaka United, sebelum tewas tiga aksi berturut-turut termasuk terbaharu kepada Sri Pahang, Selasa lalu.
Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata pihak pengurusan sanget kecewa atas tiga kekalahan berturut-turut dialami pasukan itu dalam tiga aksi terakhir mereka.
Katanya, Sabah FC akan mengkaji semula prestasi pasukan dalam tiga perlawanan akan datang sekali gus memberi peluang kepada Kurniawan memperbaiki prestasi pasukan.
“Ini termasuk menilai semula dan mendapatkan input berkaitan prestasi pasukan di bawah bimbingannya selepas menerima kehadiran lima pemain import yang sudah beraksi bagi memperkuatkan barisan Sabah FC.
“Pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menilai semula tahap prestasi kejurulatihan sebelum mengambil sebarang keputusan demi kebaikan serta kepentingan dalam Sabah FC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Marzuki meminta semua pihak tidak panik serta memberi jaminan pengurusan akan terus komited serta yakin Kurniawan dan skuad bimbingannya akan berada dalam prestasi sebenar mereka nanti.
“Semua pemain Sabah FC yang majoritinya anak tempatan akan dapat mengembalikan prestasi serta maruah pasukan ke tahap lebih baik untuk kekal bersaing dalam Liga Super. Anda perlu yakin dengan Sabah FC,” katanya. – Malaysiapost

