KECEKAPAN Ketua Polis Balai Bukit Tinggi menyelamatkan remaja perempuan dalam cubaan bunuh diri dengan terjun dari jejambat di Kilometer 46 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, berhampiran Bukit Tinggi semalam, mendapat perhatian netizen.
Tindakan pantas Sarjan Mejar Maznan Omar dalam usaha menyelamat itu yang kini tular di media sosial mendapat pujian ramai.
Video berdurasi seminit 16 saat yang tular itu menunjukkan aksi Maznan bermula dengan berjalan perlahan menghampiri remaja berkenaan sambil dilihat berkomunikasi menggunakan telefon bimbit serta meninjau keadaan di bawah jejantas.
Beliau kemudian bergerak ke belakang remaja terbabit, sebelum dengan pantas berlari ke arah mangsa dan terus menarik remaja terbabit ke belakang.
Beberapa anggota polis lain kemudian turut membantu membawa mangsa ke kawasan selamat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar turut memuji tindakan pegawainya itu.
“Alhamdulillah… Allah SWT mempermudahkan urusan kami membantu menyelamatkan satu nyawa.
“Tahniah diucapkan kepada Ketua Balai Polis Bukit Tinggi SM Maznan Omar,” katanya.
Aksi kecekapan Maznan turut dikongsi di Facebook Polis Diraja Malaysia yang mengucapkan tahniah atas keberaniannya.
“Semoga menjadi inspirasi buat warga pasukan untuk sentiasa membantu masyarakat dalam apa jua keadaan,” menurut perkongsian itu.
Difahamkan kejadian pada jam 2.15 petang semalam itu berpunca daripada mangsa merajuk susulan sering ditegur kerana kerap bermain permainan di telefon bimbit.
Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya merampas telefon bimbitnya kemudian cuba terjun di jejambat berkenaan. – Malaysiapost

