SIAPAPUN ‘melompat’, PAS tetap selamat, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ringkas, namun kata-kata itu dilihat merujuk kepada situasi politik negara ketika ini yang sedang hangat mengenai dakwaan tindakan ‘melompat parti’ oleh segelintir Ahli Parlimen bagi menyokong kerajaan.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, sejak ditubuhkan PAS merupakan parti yang paling berpengalaman dalam menghadapi perangai politik melompat parti sehingga sudah menjadi perkara biasa, khususnya dalam sistem demokrasi yang menjadikan politik terlalu dinamik.
“Maka, terdapat makhluk manusia yang berakal berubah fikirannya dengan kematangan, bahkan terdapat juga yang hanyut kerana gelombang memabukkan fikirannya. Sama ada disebabkan oleh tekanan hidup yang mencabar atau tekanan perjuangan yang menyusahkan.
“Khusus bagi PAS yang meletakkan Islam menjadi dasar perjuangan, pergerakan dan aktivitinya, maka PAS wajib berpandukan kepada Islam dalam perjalanan serta hala tujunya,” katanya melalui penulisan Minda Presiden PAS di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, PAS membuka pintu dan menerima semua yang datang kepadanya, malah sentiasa dibuka kepada sesiapa yang mahu masuk dan keluar, sama ada secara berjalan atau berlari, termasuk melompat.
Abdul Hadi juga mengakui PAS mengalami kemerosotan apabila ahlinya keluar atau melompat di semua peringkat, bermula daripada ahli biasa sehinggalah melibatkan pemimpin utama dan tertinggi yang juga pernah melompat keluar parti.
“Ini menunjukkan mereka yang tidak mempunyai manfaat kepada PAS akan dikeluarkan daripada PAS, lalu menyembuhkan penyakit dalam jemaah PAS.
“Tiada siapa mengetahui orang yang tidak ikhlas niat perjuangannya, atau orang yang tidak sabar dan menginginkan kemenangan gopoh, melainkan Allah SWT.
“Sikap tersebut menjadi penyakit yang mesti dikeluarkan daripada PAS,” katanya.
Beliau berkata, PAS turut mengambil pendekatan damai melalui strategi mengadakan tahaluf dan kerjasama dengan semua pihak, khususnya dengan kumpulan Islam, bahkan termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi memperkenalkan Islam secara langsung.
“Maka, janganlah menghukum PAS apabila ada golongan melompat keluar meninggalkan atau menyertai PAS, sehingga terdapat mereka yang beberapa kali melompat keluar dan masuk PAS semula.
“Hukumlah diri sendiri, PAS hanya mengambil manfaat daripada politik lompat melompat. Hanya mereka yang melompat dengan niat tidak ikhlas bersama PAS sahaja akan patah kakinya. Namun, ahli PAS yang setia tetap tidak akan patah semangat,” katanya.
Abdul Hadi berkata, PAS akan tetap selamat, selagi Islam menjadi jasad dan rohnya. – Malaysiapost

