KOMPAUN RM10,000 terhadap rakyat jika mereka secara tidak sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 sememangnya amat menekan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dalam situasi ekonomi yang menyukarkan, ternyata kompaun ini meresahkan rakyat lalu mereka beranggapan tindakan itu adalah tidak munasabah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Bagi membantu meringankan beban rakyat, Ahmad Zahid berkata Pemuda dan Wanita Umno telah menawarkan khidmat guaman percuma.
“Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang menawarkan khidmat guaman percuma.
“Bagi sesiapa yang tidak berpuas hati jika dikenakan kompaun, boleh menghubungi Pemuda Umno untuk mendapatkan bantuan.
“Saya diberitahu Pergerakan Wanita Umno juga menawarkan khidmat guaman. Syabas dan teruskan usaha ini bagi meringankan beban rakyat,” katanya. – Malaysiapost

