SEKUMPULAN ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Mersing, yang dipercayai menjadi punca penularan Covid-19 yang mengakibatkan Pulau Tioman diisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sedang diburu polis.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata hasil siasatan tidak menolak kemungkinan penularan Covid-19 di pulau peranginan itu berpunca daripada ahli NGO terbabit.
“Setakat ini, kita sudah kenal pasti tujuh individu yang telah merentas negeri dan pihak berkuasa sedang mengesan mereka untuk dikenakan kompaun RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga kesalahan berkaitan.
“Kita tahu, kesemua mereka ketika ini sudah tidak berada di Pulau Tioman, namun begitu polis sedang menjejaki mereka menggunakan kaedah khusus,” katanya dipetik daripada Sinar Harian, hari ini.
Semalam, media melaporkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Pulau Tioman dipercayai berpunca daripada aktiviti rentas negeri.
Kumpulan NGO itu dilaporkan menginap di sebuah chalet di Air Batang secara beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan fizikal menyebabkan berlakunya jangkitan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/rentas-negeri-punca-pkpd-di-tioman/

