AMK bimbang lebih banyak Ordinan Darurat muncul tanpa gubal di Parlimen

0
1

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) bimbang pelaksanaan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No. 2) 2021 bagi mengekang berita palsu bakal menjadi pencetus lebih banyak perlaksanaan undang-undang tanpa terlebih dahulu melalui proses semak dan imbang di Parlimen.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggubal undang-undang ini yang membelakangkan institusi Parlimen adalah jelas berlawanan dengan prinsip semak dan imbang serta konsep pengasingan kuasa.

“Kebimbangan kita adakah undang-undang sebegini boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa pihak eksekutif untuk menguatkuasakan lebih banyak perintah dan undang-undang secara berleluasa pada masa akan datang tanpa melalui saluran semak dan imbang menerusi persidangan parlimen.

“Justeru, kita mengutuk sekeras-kerasnya keputusan untuk melaksanakan ordinan berita palsu baharu itu sebagai ancaman besar terhadap kebebasan media dan menyeru ia segera ditarik balik,” katanya di Facebook, hari ini.

Tambah Akmal, Ordinan Darurat ini dilihat sebagai undang-undang yang akan mempunyai kesan yang merbahaya kepada kebebasan akhbar dan ekspresi, sekaligus menghakis demokrasi di negara ini.

“Rakyat boleh disabitkan bersalah di dalam menyebarkan ‘berita palsu’ melalui penulisan, rakaman audio serta bentuk lain yang mungkin menggambarkan ‘perkataan atau idea’ sekali gus berdepan tindakan.

“Penalti jika melanggar undang-undang ini sungguh menggusarkan serta berat: saman sehingga RM 100,000 atau tempoh penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, denda sebanyak RM1,000 sehari juga akan dikenakan mengikut setiap hari selepas kesalahan yang berterusan selepas disabitkan,” katanya.

Ordinan Darurat yang berkuatkuasa pada 12 Mac lalu adalah bertujuan untuk mengekang penularan berita-berita palsu yang berkaitan proklamasi darurat dan Covid-19. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/kompaun-rm10000-bawah-ordinan-darurat-ismail-sabri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here