PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menarik nafas lega dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil berat untuk memulihkan semula industri pelancongan negara.
Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) itu, dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan negara terutama agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
“Terima kasih juga kepada MOTAC di bawah pimpinan Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Noor Zari Hamat yang bertungkus-lumus membantu agensi pelancongan yang hampir tenggelam akibat pandemik Covid-19.
“Industri pelancongan antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 dari hari pertama penularan wabak ini sehingga sekarang.
“Dengan keperihatinan kerajaan, ahli kami bersyukur dan berterima kasih terutamanya kepada MOTAC kerana dengan insentif pemulihan ini dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Pemerkasa dapat memberi insentif pemulihan bagi mengurangkan beban yang ditanggung PAPUH seperti melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022.
“Dengan insentif pemulihan ini, PAPUH yakin dapat membantu ahli bangun kembali setelah lumpuh akibat Covid -19.
“Dengan pelepasan khas cukai pendapatan individu sebanyak RM1,000, dapat menggalakkan rakyat melakukan percutian melalui agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC, sekali gus mengerakkan semula rantaian pelancongan seperti hotel, syarikat penerbangan, restoran, taman tema, kedai cenderahati dan lain-lain.
“Bagi Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan, PAPUH yakin dapat membantu ahlinya membuka kembali perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berharap ahli dapat menggunakan bantuan itu sebaik mungkin, walaupun kecil, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban syarikat.
Katanya, dengan trend penuranan kes jangkitan harian Covid-19 dalam negara, PAPUH yakin kerajaan akan berusaha membuka semula pintu sempadan negara dalam masa terdekat.
Ini bagi membolehkan pelancongan asing masuk ke negara ini dan rakyat dapat mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadan nanti. – MalaysiaPost

