AKTIVITI sukan permotoran akan kembali beraksi dengan pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang pada 20 dan 21 Mac ini.
Ia berikutan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir menggesa penganjur dan peserta aktiviti sukan permotoran untuk memastikan pematuhan terhadap protokol dan garis panduan dari MAM.
Katanya, ia selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi
ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Kami sangat teruja untuk menyaksikan penyambungan semula aktiviti sukan
permotoran bermula hujung minggu ini di Sepang.
“Namun, saya ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat agar mematuhi SOP
dengan ketat kerana Covid-19-19 masih menjadi ancaman terhadap negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selepas pusingan pembukaan kejuaraan Cub Prix hujung minggu ini, aksi diteruskan
dengan Kejuaraan Toyota Gazoo Malaysia yang dijadual berlangsung minggu depan, diikuti Kejuaraan KRD minggu berikutnya.
Mokhzani berharap penganjuran akan berjalan dengan lancar, tetapi mengingatkan semua pihak secara kolektif bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat.
“SOP diwujudkan adalah untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya lagi. – Malaysiapost
Foto Kredit: Bikes Republic

