Kalimah Allah: Desakan tarik balik rayuan tidak bertanggungjawab

0
1
Muhamad Nur Aizat Noor Azam

TINDAKAN sekumpulan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak yang meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik balik rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Peguam yang juga Exco Pemuda Umno, Muhamad Nur Aizat Noor Azam kenyataan itu boleh menyebabkan atau menjejaskan keamanan serta keharmonian antara rakyat berbilang bangsa dan agama.

Katanya, semua wakil rakyat tersebut perlu sedar bahawa selaku Responden dalam tindakan di Mahkamah Tinggi itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kerajaan Malaysia mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan dan tidak boleh dihalang daripada berbuat demikian.

“Ini boleh disamakan dengan kes Iki Putra bin Mubarrak vs Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor yang didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Pempetisyen di dalam kes tersebut tidak dinafikan haknya oleh mana-mana pihak untuk mencabar kompetensi Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menggubal seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 walaupun ianya berkenaan dengan sistem perundangan Islam/Syariah dalam negara ini yang mana adalah satu isu sensitif bagi rakyat beragam Islam dalam negara ini.

“Kenyataan tersebut nyata sekali satu cubaan untuk menghalang sebarang bentuk cabaran terhadap keputusan itu memandangkan ia berkemungkinan berpihak kepada sesetengah pihak tertentu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Nur Aizat berkata adalah jelas daripada kenyataan tersebut bahawa wakil rakyat terbabit mempertahankan keputusan berkenaan dengan menyatakan seperti berikut:

“Keputusan mahkamah tinggi itu, kata mereka, tidak akan menyebabkan pendakwaan ke atas orang Islam dan kemurtadan mereka, sebaliknya dakwa mereka, ia hanyalah ketakutan tidak berasas yang cuba diapi-apikan oleh sesetengah orang Malaya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekadar memperbetulkan satu ketidakadilan yang menyakiti hati orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli akibat kegelisahan, kejahilan dan keangkuhan sesetengah (pihak),” kata mereka lagi.

Muhamad Nur Aizat berkata beliau juga berpendirian tegas bahawa kenyataan tersebut berunsur sub-judice kerana rayuan terhadap keputusan tersebut telahpun difailkan ke Mahkamah Rayuan dan dalam proses penyediaan rekod-rekod rayuan bagi tujuan pendengaran rayuan tersebut.

Katanya, Mahkamah Rayuan masih belum meneliti serta menilai keputusan tersebut dalam rayuan tersebut.

“Sebagai wakil rakyat, mereka harus lebih peka dengan sistem perundangan dan juga insitusi kehakiman di mana mereka sepatutnya menghormati proses penghakiman dalam isu ini dan membiarkan isu ini diputuskan dengan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Kenyataan sebegini boleh menjejaskan proses rayuan di Mahkamah Rayuan di mana ia menyentuh merit rayuan tersebut yang masih belum didengar dan diputuskan.

“Kenyataan mereka ini yang mempertahan ketepatan keputusan tersebut pada peringkat ini juga adalah satu prejudgment kepada pendengaran serta penentuan rayuan tersebut oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Sabah dan Sarawak menyeru kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam kalangan penganut Kristian.

Dalam kenyataan bersama 18 Ahli Parlimen, empat ahli Dewan Negara dan 32 Adun Sabah dan Sarawak itu, mereka turut meminta kerajaan supaya tidak membuat rayuan ke atas keputusan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here