HANYA kerana ditegur bapa ekoran leka dengan permainan video di telefon, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bertindak untuk terjun dari jambatan di KM 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat susur Berjaya Hills Bukit Tinggi, Bentong, hari ini.
Remaja berkenaan yang mendakwa tertekan dengan teguran bapanya itu berjaya diselamatkan polis dan pasukan bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.12 petang.
Susulan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Tinggi dikejarkan ke lokasi dan ketika pasukan tiba, remaja berkenaan dilihat duduk di tebing jambatan, bersedia untuk terjuan.
“Anggota cuba memujuknya supaya bertenang. Bomba juga dihubungi untuk bantuan memasang jaring di bawah jambatan.
“Namun, ketika proses memujuk itu, Ketua Balai Polis Bukit Tinggi Sarjan Mejar Maznan Omar sempat berlari ke arah mangsa dan menariknya dari belakang.
“Beliau dibantu anggota lain dan remaja berkenaan berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut mangsa juga dimaklumkan mengalami kemurungan dan dalam rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya.- Malaysiapost

