KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tiada mandat diberikan kepada mana-mana pihak dari parti itu untuk berunding bagi bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Menurut beliau, sehingga hari ini, sebagai anggota tertinggi parti sama ada di peringkat pengurusan, Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tidak pernah ada sebarang mandat diberikan kepada sesiapa di pihak Umno untuk berunding, maka jauh sekali memutuskan untuk bekerjasama dengan Anwar atau DAP.
“Benar kata Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan terserah kepada Anwar Ibrahim nak canang mahupun nak gempak kononnya ada rundingan dengan Umno.
“Yang pasti Umno masih kekal dengan pendirian tiada sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik PH sama ada PKR, DAP ataupun Amanah,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, Umno sebuah parti yang bersistem dan berperaturan justeru sebarang keputusan dasar termasuk melibatkan perundingan kerjasama politik hanya sah dan terpakai jika mempunyai dua perkara berkenaan.
“Pertama, mana-mana pihak menerima mandat untuk berunding daripada Majlis Kerja Tertinggi Umno.
“Kedua, rundingan kerjasama dipersetujui oleh MKT dan disahkan di peringkat Perhimpunan Agong Umno (sebagaimana Peruntukan Perlembagaan Parti),” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, rundingan ini wujud ataupun tidak bergantung sama ada Anwar berbohong ataupun beliau sendiri tertipu dengan tanggapannya sebagai rundingan kerjasama.
“Namun, yang sebenarnya hanyalah sekadar perbualan kosong yang tiada sebarang makna, kesan ataupun natijah.
“Lagipun ini bukan kali pertama Anwar bersandiwara!,” ujarnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/umno-tak-pernah-setuju-jalin-kerjasama-dengan-pkr-dan-dap-shahril/

