Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa yang beliau tidak mengetahui tentang sebarang rundingan kerjasama antara parti itu dan PKR mahupun DAP.
“Setakat ini, sebagai Naib Presiden, saya tak tahu mengenai hal-hal kerjasama ini.
“Saya tak tahu sekiranya ada apa-apa bentuk rundingan, ‘discussion’ atau sudah ‘rule out plan’ untuk kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Ceria Ke Sekolah (CKS), Tenaga Nasional Bhd (TNB) , peringkat negeri Selangor di Wisma TNB, Subang Jaya, hari ini.
Media tempatan sebelum ini melaporkan mengenai wujud rundingan antara pimpinan tertinggi Umno dan PKR bagi menjalinkan kerjasama.
Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud perbincangan mengenai kerjasama itu.
Namun, dalam sidang medianya petang tadi Anwar mendakwa perkara itu masih di peringkat perbincangan.
Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Pengerusi TNB berkata, TNB sentiasa komited membantu golongan memerlukan dan kurang berkemampuan terutama golongan B40.
Menurutnya, pelancaran program ‘Ceria Ke Sekolah’ peringkat negeri Selangor hari ini memperuntukkan kira-kira RM310,000 melibatkan 3,100 pelajar daripada keluarga B40 di negeri itu.
Katanya, sumbangan yang dihulurkan TNB itu merangkumi kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam sekolah dan beg sekolah.
Sumbangan itu akan disampaikan melalui kerjasama pemimpin masyarakat tempatan dan pihak sekolah.
Bantuan itu bertujuan mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan anak-anak mereka ke sekolah, terutama berikutan pandemik COVID-19.
Secara keseluruhannya, TNB memperuntukkan hampir tiga juta ringgit bagi program CSR tahun 2021 yang setakat ini telah diagihkan ke negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.-Malaysiapost

