THE Red Devils mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan tempat untuk kelayakan Liga Juara-Juara musim depan dengan kemenangan 1-0 ke atas West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Kemenangan ke atas Hammers yang berada di tangga kelima membolehkan United memintas kembali Leicester di tangga kedua, namun masih ketinggalan jauh di belakang Manchester City yang berkelebihan 14 mata.
City kukuh di persada liga hasil 17 kemenangan daripada 18 perlawanan terakhir dengan kekalahan tunggal dalam deretan keputusan itu adalah di tangan United kendalian Ole Gunnar Solskjaer hujung minggu lalu.
“Sukar untuk melihat kelompok empat teratas sekarang kerana sebelum ini kami melihat untuk kejuaraan liga.
“Ia peluang terbaik untuk terus melangkah dan membuktikan kemampuan kami, tetapi City mengharungi deretan keputusan cemerlang dan kami terpaksa mengekori,” kata McTominay seperti dilaporkan AFP.
McTominay adalah pemain United yang berada paling hampir dengan Craig Dawson ketika pemain West Ham itu tertanduk bola ke gawang sendiri di Old Trafford.
Walaupun bermain kurang satu perlawanan berbanding City, Red Devils dilihat sukar untuk mengejar anak buah Pep Guardiola, tetapi mempunyai kelebihan sembilan mata ke atas West Ham dalam pemburuan tempat ke Liga Juara-Juara. – Malaysiapost

