MESEJ yang kuat dan melodi segar menjadi faktor utama lagu Gila ciptaan Ezra Kong, Noki, dan Loca B dipilih juri sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL35), malam tadi.
Menurut ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, pembaharuan karya sebegitulah yang mereka cari dan secara keseluruhannya lagu berkenaan memang cukup kuat.
“Setiap tahun, kami mencari pembaharuan dalam lagu bertanding tapi ‘baharu’ yang berkualiti. Gila mengangkat genre rap dan etnik dengan ciptaan teknikal serta elemen komersial yang diterima ramai.
“Lirik dan intipatinya merangkumkan keadaan terkini mengenai pandemik yang kita hadapi. Percaturan meletakkan tiga penyanyi juga berjaya mencipta keserasian padu sekali gus melonjakkan lagu itu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Mokhzani juga akur sekiranya keputusan itu masih menjadi pertikaian netizen, namun katanya ia keputusan muktamad panel juri.
“Kita perlu ada keberanian untuk cari perubahan dalam hal ini. Tak kisahlah keputusan kami dilabel ‘gila’, namun ia adalah pilihan terbaik,” katanya.
Terdahulu, lagu Gila yang dinyanyikan Noki, Loca B, dan Kaka Azraff, menewaskan 11 lagu lain pada AJL35 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Berkongsi mengenai kemenangan itu, Ezra berkata lagu terbabit diinspirasikan daripada kisah benar dan menyifatkan pemilihan tiga penyanyi berkenaan sememangnya tepat untuk karya itu.
“Idea menulis lagu itu saya dapat semasa mendapat mesej daripada seorang individu di Instagram. Individu itu berdepan dugaan untuk merantau di mana, dia takut dengan situasi ‘gila’ di bandar.
“Ditambah pula dengan lirik rap tulisan Noki dan Loca B yang hebat serta bergabung dengan Kaka, itulah magis sebenar lagu ini,” katanya.
Naib juara disandang lagu ‘Semalam’ ciptaan sepenuhnya Aina Abdul, tempat ketiga milik ‘Belenggu Rindu’ (Ezra Kong dan Hael Husaini, Vokal Terbaik milik Ernie Zakri (Gundah), manakala Persembahan Terbaik milik Zizi Kirana (Eh!). – Malaysiapost

