Demokrasi Malaysia seharusnya lebih kukuh dan lebih baik dari sebelumnya, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini, katanya, menunjukkan bahawa demokrasi di Malaysia semakin menyusut dan merosot.
“Malaysia pasca moden sewajarnya boleh menjadi teladan kepada negara membangun lain tentang bagaimana demokrasi kita itu berevolusi dalam sistem demokrasi yang sarat dengan kearifan tempatan. Dan ia membuahkan pelbagai kejayaan dengan Malaysia menjadi negara membangun paling berjaya.
“Namun sebaliknya yang berlaku. Kita semakin mundur dari kualiti kepimpinan dengan Ahli Parlimen bertindak sesuka hati atas perkiraan peribadi dan bukan prinsip serta nilai.
“Kebebasan bersuara dan berekspresi semakin mengecil dengan pelbagai ordinan dan tindakan yang menanam ketakutan dan bukannya pertanggungjawaban,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.
Mohamad berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila Parlimen digantung dan Perlembagaan dilumpuhkan yang mana semua itu adalah kesusutan nilai demokrasi yang sangat di bimbangi.
“Malaysia mesti keluar dari defisit demokrasi ini. Kita sepatutnya lebih baik dan lebih unggul dalam mengurus negara ini dan menampilkan amalan demokratik yang lebih maju.
“Membiarkan potensi Malaysia dalam kedudukan sepertinya sekarang, adalah sangat mendukacitakan,” katanya.
Beliau seterusnya mengingatkan rakyat bahawa kita semuanmempunyai tanggungjawab kolektif untuk memperbaiki kedudukan demokrasi Malaysia.
“Sama ada kita seorang menteri Kabinet, atau penjawat awam, atau ahli politik pembangkang, atau kumpulan masyarakat sivil mahupun hanya orang biasa, marilah kita mengembalikan amalan demokrasi di Malaysia ke tahap dan kedudukan lebih baik.
“Negara ini adalah tanahair yang istimewa buat semua penduduknya. Ia bukan hak milik peribadi atau sesiapapun dan tidak boleh diperlakukan dengan sesuka hati.
“Negara ini adalah hak semua untuk semua. Rakyat negara ini mengimpikan watan idaman yang benar-benar akan memberikan mereka rasa kepunyaan kepada Malaysia.
“Lalu marilah kita memperbaiki demokrasi di Malaysia ini tanpa lelah. Lakukan apa jua yang termampu, agar akhirnya, dengan usaha kolektif semua, demokrasi di Malaysia akan menjadi lebih baik dan lebih maju,” katanya lagi. – Malaysiapost

