“SAYA telah mencuba yang terbaik,” luah Nabila Razali menerusi satu hantaran ringkas di laman Instagram miliknya malam tadi.
Persembahan Nabila yang menyampaikan lagu Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) terus mendapat kecaman netizen.
Rata-rata di media sosial, persembahan penyanyi itu dengan pantas menjadi tular apabila dia ‘terkucil lagi’ ketika menyanyi secara langsung.
Sebelum ini lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu antara diramalkan netizen bakal dinobatkan sebagai Lagu Terbaik AJL35.
Dalam satu persembahan secara langsung tahun lalu, Nabila turut menerima kritikan apabila suaranya tak sampai atau terkucil hingga kecoh dalam kalangan netizen.
Dalam pentas AJL malam tadi, lagu Gila dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki diumumkan sebagai juara AJL Ke-35 yang disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Kemenangan lagu ciptaan Ezra Kong, Noki dan Loca B itu melayakkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Naib juara AJL35 menjadi milik lagu Semalam nyanyian dan ciptaan Aina Abdul sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM35,000.
Menduduki tempat ketiga pula lagu Belenggu Rindu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong nyanyian Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita. Kemenangan itu melayakkan mereka memenangi trofi dan wang tunai RM20,000.
Suara penuh emosi Ernie Zakri mendendangkan lagu Gundah ciptaannya dan Sharon Paul membawa tuah apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.
kategori Persembahan Terbaik pula menerima trofi dan wang tunai RM12,000 serta baucar McDonald’s Malaysia selama setahun menjadi milik Zizi Kirana menerusi lagu Eh. – Malaysiapost

