PAS sambut baik tawaran baru Kerajaan PN

0
1

PAS menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.

Katanya, PAS yang konsisten dengan pendekatan penyatuan ummah, akan terus berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman.

“Justeru PAS menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN, dan menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, kenyataan Abdul Hadi itu merujuk susulan ucapan Muhyiddin ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan yang ke-49 secara maya di Kuala Lumpur, pada Sabtu lalu.

Muhyiddin berkata PN menawarkan “perjanjian baru” untuk rakyat Malaysia, merangkumi untuk memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten, serta memiliki aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Perikatan Nasional menawarkan ‘new deal to all Malaysians’ (tawaran baru untuk seluruh rakyat Malaysia) dan kami akan ada untuk tempoh masa yang lama. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin,” kata Muhyddin. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

Malaysiapost.com.my/2021/03/13/pn-akan-terus-kekal-dalam-tempoh-panjang-muhyiddin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here