AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu mengenakan hukuman terhadap pihak yang mendakwa gabungan itu hilang majoriti di Parlimen.
Beliau berkata, PN tidak seharusnya berasa takut dan gentar dengan pandangan umum kerana ia adalah lumrah yang perlu diterima dalam setiap pentadbiran kerajaan.
“Waktu saya dalam kerajaan pun, memang ada yang kritik, yang tak puas hati dan tak suka dengan prestasi kerajaan. Tak apa. Memang itu hak rakyat dan itu adalah kebebasan yang kita berikan kepada semua orang untuk bersuara.
“Kalau kerajaan baik, puji lah. Kalau kerajaan tak baik, kita tak boleh halang mereka dari kritik dan cakap-cakap. Lumrah bernegara begitulah. Apabila terima kritikan, baikilah cara bekerja. Kalau orang tidak tahu apa yang sedang diusahakan Menteri, beritahulah dan buatlah hebahan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, tindakan kerajaan mengenakan hukuman termasuk denda sehingga RM100,000 untuk pihak yang mengkritik kerajaan berhubung isu itu adalah tidak wajar.
“Tapi, janganlah hanya kerana cakap-cakap, kerajaan mahu hukum pula. Hukuman pula bukan sedikit. Boleh kena maksimum 3 tahun penjara atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
“Ia bukan satu hukuman yang kecil tetapi besar dan berat beban yang akan ditanggung oleh sesiapa sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan PN tidak perlulah bertindak sedemikian, jalankan tugas dan buktikan kepada rakyat bukannya menambahkan masalah mereka.
“Kalau orang cakap-cakap yang darurat ini dibuat kerana Kerajaan Perikatan Nasional hilang majoriti, tak perlulah sampai nak hukum. Jalankan tugas seperti biasa atau gandakan usaha untuk memenangi hati rakyat.
“Kerajaan yang takut pada rakyat sepatutnya menjadi kerajaan yang paling rajin berkhidmat untuk rakyat.
“Kerajaan yang takutkan rakyat pula akan jadi sebuah kerajaan yang culas menjalankan tugas dan tidak mahu keluar dari kepompong zon selesa,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan sesetengah pihak berhubung tindakan kerajaan mendapatkan pengisytiharan darurat kerana hilang majoriti Dewan Rakyat dan melanggar ordinan darurat, adalah berita palsu.
Sehubungan itu, katanya, di bawah Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No 2) 2021 ini, bertujuan untuk mengekang berita tidak benar berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat, membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

