PEMUDA Umno Johor menasihatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memperbaiki keretakan partinya yang dilihat makin serius, bukannya memikirkan kepentingan diri.
Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah, berkata Anwar sehingga hari ini menyatakan tidak menolak kerjasama dengan Umno bagi memperlihatkan ada daripada parti itu yang turut menyuarakan sokongan terhadapnya.
“Apa yang dilakukan Anwar Ibrahim hanyalah diibaratkan seperti peribahasa Melayu, angan-angan menerawang langit. Sedangkan, masalah dalaman dalam partinya sendiri masih tidak dapat diatasi, apatah lagi ramai ‘nama besar’ dalam PKR sendiri angkat kaki meninggalkan beliau keseorangan berangan Mat Jenin.
“Lihat sahajalah hierarki atau barisan kepimpinan PKR 2018 hingga 2021, selain Anwar Ibrahim, siapakah yang anda lihat masih berada dalam posisi jawatan kanan dalam kepimpinan parti itu? Semuanya sudah kosong dan lari meninggalkan PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, perkara berkenaan terjadi kerana semuanya sudah nampak dan sedar diperalat hanya untuk memenuhi kerakusan Anwar untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.
“Jadi, apa yang beliau lakukan untuk mengukuhkan parti beliau sejak beliau keluar dari penjara ketika PH menang menjadi kerajaan sebelum ini, sehinggalah bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen Port Dickson?
“Tiada apa melainkan merosakkan PKR itu sendiri sehingga ramai angkat kaki meninggalkan beliau.
“Bukan mahu sibuk mengenai hal ‘rumah tangga’ orang lain, tetapi ini adalah realiti yang dihadapi PKR ketika ini,” katanya.
Katanya, Pemuda Umno Johor yakin, bukan sahaja mereka bahkan ahli akar umbi dan rakyat marhain sendiri dapat berfikir dan menilai kelayakan Anwar selepas apa yang berlaku.
“Pepatah orang tua-tua dahulu pernah mengungkapkan, ‘kayu yang bengkok, masakan lurus bayangnya’.
“Sudah-sudahlah menggunakan alasan mahu bekerjasama dengan Umno dan Pemuda Umno Johor menasihatkan Presiden PKR untuk pandang sejenak ke cermin, perbetul dan kuatkanlah semula parti anda yang retak menanti belah itu, barulah bercerita soal hendak ambil alih kerajaan atau hendak jadi Perdana Menteri.
“Rakyat sendiri sudah muak dengan permainan dibawa Anwar Ibrahim yang ‘bijak’ memanipulasi situasi dan tutur kata tatkala terdesak meraih sokongan,” katanya.
Beliau berkata, itu sahajalah yang mampu dibuat Presiden PKR, kerana sehingga hari ini ayat keramat ‘I have number’ menjadi kata nista dan bahan jenaka netizen serta rakyat.
Justeru, pihaknya mengingatkan semua ahli Umno terutama di Johor untuk tidak terpedaya dan termakan dengan permainan jijik Anwar.
“Abaikan sahaja sebarang kata-kata yang tersembul keluar dari mulut beliau kerana sememangnya ia sekadar kata-kata kosong dan tiada apa yang perlu dibimbangkan agau diambil serius.
“Jika ada pemimpin-pemimpin tertinggi Umno yang cuba-cuba bermimpi mahu bersama dengan mereka baik lupakan sahaja niatnya, kami pemuda Johor akan menghalang sekeras-kerasnya.
“Kita akar umbi Umno teruskan perjuangan dan melaksanakan tanggungjawab membela rakyat, menjadikan Umno bertambah kukuh dan diyakini rakyat tanpa perlu memikirkan tipu daya yang cuba dimainkan pihak luar yang akhirnya merugikan Umno sendiri,” katanya. -Malaysiapost

