Najamuddin Mohd Nor
“INI adalah ‘double standard’, pelaksanaan hukuman terpilih,” demikian reaksi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
Katanya, golongan menteri atau kenamaan tidak patut terlepas daripada kompaun RM10,000 jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Mengapa rakyat marhain dengan mudah terus diberi saman RM10,000. Yang menteri terang terang gambarnya viral tapi sehingga kini belum kedengaran disaman atau dihukum kompaun sebanyak itu?
“Adakah ini undang-undang hanya untuk rakyat marhain, tapi golongan bangsawan boleh terlepas begitu sahaja.
“Inilah padahnya bila kerajaan tebuk atap merampas kerajaan yang mendapat mandat rakyat, parlimen ditutup, maka songsanglah jadinya undang-undang ini, tiada lagi simpati dan belas ehsan kepada rakyat,” katanya kepada Malaysiapost
Beliau mengulas isu tular gambar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin di media sosial melepaskan kayuhan basikal dalam Program Malaysia Prihatin Norma Baharu Berekreasi di Zon Rekreasi Keluarga Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, kelmarin.
Perkongsian itu mendapat kecaman orang ramai kerana didakwa tidak mematuhi SOP PKPB dengan penganjuran Fun Ride, dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun RM10,000 seperti dikenakan terhadap rakyat biasa.
Turut tular dan dijadikan perbandingan di media sosial gambar Zuraida melepaskan peserta Fun Ride dengan gambar beberapa pengemis yang dikompaun RM10,000 di Sabah.
Gambar berkenaan jelas telah membangkitkan kemarahan netizen dan menyifatkan perlaksanaan kompaun ini adalah ‘double standard’.
Bagaimanapun hari ini, Jabatan Landskap Negara (JLN) menafikan program berbasikal yang dirasmikan Zuraida di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu adalah aktiviti ‘Fun Ride’.
Ini kerana, menurut jabatan itu aktiviti berbasikal berkenaan tidak dibuka kepada orang awam dan bukan berbentuk kejohanan atau pertandingan dengan kehadiran penonton. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/cuma-aktiviti-berbasikal-bukan-fun-ride/

