Tak perlu kepujian BM sertai PDRM, punca Dasar Bahasa Kebangsaan ‘longlai’ – DBP

0
2

PENGERUSI Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan, ‘tidak senang’ dengan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu kelonggaran keputusan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, tindakan PDRM mengecualikan kelulusan kepujian Bahasa Melayu SPM untuk mendorong bukan Bumiputera berkhidmat sebagai konstabel polis, disifatkan sebagai tidak tepat.

“Mengecualikan kelulusan kepujian Bahasa Melayu SPM untuk mendorong bukan Bumiputera berkhidmat sebagai konstabel polis bukan keputusan dan langkah yang betul. Ada motivasi lain yang lebih wajar dan munasabah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, semua warganegara sepatutnya bersedia untuk berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara tanpa syarat.

“Malah syarat untuk menjadi warganegara yang baik ialah kesediaan berkhidmat kepada negara.

“Kelonggaran yang tidak perlu seperti itulah antara punca Dasar Bahasa Kebangsaan tidak mantap-mantap walaupun sudah lebih 60 tahun negara Merdeka,” katanya.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi senada dengan Awang turut membidas langkah PDRM berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, walaupun tindakan itu berniat baik dan objektifnya untuk menambah penyertaan golongan terbabit dalam PDRM, namun kelonggaran dalam kelulusan Bahasa Melayu boleh menimbulkan polemik.

Beliau berkata, kewajipan lulus Bahasa Melayu dalam apa jua perkhidmatan awam bertepatan dengan dasar memartabatkan bahasa kebangsaan.

Baru-baru ini, PDRM pengumumkan warga Malaysia bukan Bumiputera yang layak kini boleh mengisi kekosongan jawatan konstabel dalam pasukan PDRM tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat SPM.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din, berkata kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.

Kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.

“Bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here