Jangan jadi punca penyokong tidak boleh hadir ke stadium – MFL

0
2

PENYOKONG pasukan Selangor FC diminta supaya bersabar dan tidak melakukan tindakan yang boleh memberi kesan buruk kepada peminat bola sepak negara secara keseluruhannya susulan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
Ingatan itu dibuat melalui laman Facebook pasukan berkenaan selepas tindakan segelintir penyokong Gergasi Merah yang berkumpul di perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum perlawanan Liga Super 2021 membabitkan Selangor dan Kuala Lumpur City FC, semalam. 
“Kepada semua penyokong Gergasi Merah. Kami faham semua penyokong Selangor teruja untuk kembali ke stadium.
“Buat masa ini pihak Malaysian Football League (MFL) sedang bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menetapkan SOP bagi merealisasikan hasrat penyokong semua.
“Kami sangat menghargai semangat anda semua dan sokongan yang tidak pernah berhenti. Terima kasih kami ucapkan dan ami berharap penyokong semua terus bersabar, kekal di rumah dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan Kerajaan Malaysia,” menurut kenyataan itu. 
Sementara itu, MFL dalam satu kenyataan menentang tindakan segelintir penyokong berkenaan yang dikhuatiri boleh memberikan kesan buruk kepada Liga Malaysia musim 2021.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, tindakan itu jelas melanggar perintah kerajaan yang melarang sebarang perhimpuan dalam tempoh pandemik Covid-19 di mana perlawanan Liga Malaysia ketika ini masih berlangsung tanpa penyokong di Stadium.
“MFL sangat kesal dengan perbuatan segelintir penyokong yang bertindak membuat perhimpuan di luar stadium di mana ia jelas menyalahi tuntutan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam PKP ini.
“Kesannya bukan sahaja memberikan impak kepada Liga Malaysia sebaliknya ia turut merencatkan usaha MFL dan KBS untuk membawa masuk kembali penyokong-penyokong selepas setahun tiada kelibat penonton di stadium disebabkan pandemik Covid-19.
“Saya menggesa semua pihak agar lebih sensitif dengan situasi pandemik Covid-19 di mana mereka seharusnya bijak memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan dengan cara betul selaras tuntutan SOP.
“Oleh yang demikian, saya berharap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi di Stadium MBPJ yang berlaku petang hari ini (semalam) dan di semua venue Liga Malaysia yang jelas telah melanggar SOP Covid-19.
“Saya meminta agar semua penyokong hormati garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here