Vaksin: KJ akan jawab semua soalan Najib dalam taklimat PICK Ahli Parlimen

0
1

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan satu taklimat menyeluruh mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada Ahli Parlimen akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, taklimat berkenaan bagi menjawab segala persoalan berbangkit berhubung PICK, termasuk gesaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memohon ia disegerakan kerana mendakwa tidak menepati sasaran.

Khairy dalam ruangan komen di hantaran Facebook Najib malam tadi berkata, surat jemputan mengenai taklimat itu akan dikeluarkan pada minggu ini.

“Jadi saya berharap Dato’ Seri hadir ke taklimat tersebut. Dato’ Seri boleh bertanya secara terus dan saya sedia menjawab.

“Selepas itu bolehlah Dato’ Sri kongsikan kebenaran kepada pembaca FB Dato’ Sri.” katanya.

Terdahulu, dalam komen sama, Khairy berkata, berkenaan sasaran vaksinasi sebanyak 160,000 dos sehari yang dibangkitkan Najib itu bukan perkara baru sebaliknya ia sudah berualang kali dinyatakan.

Selain itu, Khairy berkata, Najib juga boleh melakukan carian di internet mengenai kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk PICK.

“Dato’ Sri juga boleh Google tentang kesiap siagaan KKM menyediakan 7,000 vaksinator untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 dan Fasa 3.

“Dengan angka 7,000 kita mampu mencapai jumlah yang lebih tinggi daripada 160,000. Tapi kita tidak mahu terlebih janji memandangkan kita sedar bekalan vaksin akan dihantar secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pembelian vaksin oleh pihak swasta, Khairy berkata, kebanyakan syarikat vaksin hanya menjalankan rundingan dengan kerajaan.

“Kalau Dato’ Sri tetap tidak mahu percaya, saya tidak boleh buat apa-apa, terpulang kepada Dato’ Sri.

“Tetapi sekiranya ada pihak swasta berupaya menjalankan rundingan dengan pengeluar vaksin terutamanya dengan syarikat vaksin yang telah mendapat kelulusan NPRA (Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac), dipersilakan, saya sangat mengalu-alukan,” katanya.

Menjawab isu capaian sasaran imunisasi, Khairy berkata, perkara itu sudah disebut berulang kali bahwa PICK akan berlangsung sehinggan Februari 2022.

Katanya, perkara itu boleh dirujuk mukasurat 16 buku panduan PICK, malah Khairy juga menyediakan pautan PICK:
https://www.vaksincovid.gov.my/…/Program_Imunisasi…

“Jadi tidak timbul persoalan adakah kerajaan perlu menunggu masa setahun memandangkan perancangan PICK sememangnya adalah sehingga Februari 2022.” katanya.

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/10/vaksin-najib-minta-kj-terima-kritikan-akui-kadar-vaksinasi-perlu-dipercepat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here