Jenazah wanita maut ditembak suami selamat dikebumikan

0
1

JENAZAH wanita yang mati ditembak suami ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru pada 1 Mac lalu selamat dikebumikan pagi semalam.

Jenazah wanita berusia 38 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telaga, Kuala Berang, di Hulu Terengganu pada jam 5.30 pagi.

Imam Masjid Kampung Telaga, Jusoh Salleh, 64, berkata, van yang membawa jenazah dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru tiba di kawasan tanah perkuburan berkenaan pada jam 4 pagi.

Menurutnya, urusan pengebumian disegerakan atas permintaan keluarga dan semuanya dipermudahkan serta berjalan lancar.

“Kami selaku kariah masjid kemudiannya melakukan tahlil ringkas sejurus pengebumian selesai,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang masih trauma dengan kejadian berkenaan enggan ditemubual.

Misteri kehilangan seorang wanita yang didakwa melarikan diri dari rumah akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang serai, di Bandar Penawar, Johor Bahru.

Lebih mengejutkan, suaminya yang berusia 43 tahun, menjadi suspek utama dipercayai menembak mangsa ketika wanita berkenaan sedang tidur di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu selain polis turut menemui surat tuntutan fasakh di kediaman berkenaan.

Kes bermula apabila jiran mereka membuat laporan berkaitan kehilangan ibu dua anak berkenaan pada Isnin lalu dan membawa penahanan suami wanita itu serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang juga rakan baiknya pada keesokan harinya bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan awal ke atas suami wanita itu, suspek mendakwa isterinya keluar rumah pada pagi Isnin lalu, jam 2 pagi dan tidak pulang sejak itu.

Bagaimanapun, suami mangsa yang juga seorang pemandu jengkaut akhirnya mengaku membunuh isterinya ketika wanita berkenaan sedang tidur dengan menggunakan senapang angin. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/10/tembak-isteri-reman-suspek-disambung-6-hari/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here