Kalimah Allah: MN desak kerajaan bawa ke Mahkamah Rayuan

0
1

MUAFAKAT Nasional (MN) menggesa kerajaan memfailkan rayuan di mahkamah berhubung isu membenarkan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

MN dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selesai mesyuarat bulanan pakatan itu malam tadi, berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan.

“MN menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman berkaitan kalimah Islam ke Mahkamah Rayuan.

“Kita memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, mengulas isu sama, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MN secara kolektif menggesa kerajaan membuat rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah berkenaan.

“Kebetulan Menteri Undang-Undang sendiri hadir dalam Mesyuarat (MN), (usaha) agar membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (sudah dinyatakan).

“Teringat perjuangan tahun 2015 yang hampir sama dalam isu penggunaan Kalimah Allah. Waktu itu, Majalah mingguan gereja Katolik, Herald, dilarang daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan.

“… apabila ia gagal dalam percubaan terakhirnya mengggunakan saluran perundangan setelah Panel lima orang hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, sebulat suara menolak permohonan pihak gereja itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun ia perlu disertakan dengan penafian, ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/10/mahkamah-benarkan-kristian-guna-kalimah-allah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here