ANTARA Umno dan Pas, tiada siapa boleh mengaku menjadi ‘abang besar’!
Perkara itu ditegaskan Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin yang menyifatkan kedua-dua parti mesti tenang dan kekal bermuafakat dalam politik.
“Saya menghadiri mesyuarat Muafakat Nasional (MN) semalam. Alhamdulillah, harmoni dan berterusan komited dalam agenda perpaduan ummah!
“Tiada abang besar. Tiada parti kecil atau besar. Semua memahami kepentingan bersama,” catatnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Khairil Nizam, rakyat memerlukan pengukuhan penyatuan dan perpaduan ummah seperti diterajui Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) demi menjamin kelangsungan kepimpinan Islam.
“Sekiranya tidak, kita akan kembali diperintah oleh kalangan yang beragenda lebih bahaya dari penjajah.
“Dalam keberkatan peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj ini, marilah kita hayati tuntutan untuk mengukuhkan Perpaduan Ummah ini melalui teladan turunnya kewajipan bersolat yang dilaksakan secara berjemaah dalam keadaan penuh tetib dan disiplin di antara Imam dan makmum serta antara makmum dengan makmum yang lain,” katanya.
Justeru, Khairil Nizam berharap kedua-dua parti dapat mengenepikan ego masing-masing bagi mengukuhkan jalinan hubungan yang telah dibentuk.
“Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seringkali mempedomankan kita untuk saling hormat, memaafkan dan melengkapi, serta tidak mengungkit-ungkit kisah lama.
“Bukankah nasihat ini tulus selaras diperintahkan Allah dan tanpa ada apa-apa kepentingan yang boleh diraih?
“Kita percaya keharmonian sesama kita boleh teguh terikat dengan nasihat sesama sendiri serta menyelesaikan setiap perkara secara musyawarah di meja rundingan.
“Tidak juga perlu merasa bimbang atau rasa disaingi oleh parti yang kecil. Kerana demi agama, bangsa dan negara ini, PAS telah membuktikan kesediaan dan kesetiaannya memeterai ikatan bersama,” katanya.
Beliau menambah, PAS juga tidak pernah memperkecilkan mana-mana saudara politiknya dan jika Pas dilihat besar, itu adalah perakuan dan pengiktirafan.
“Namun, PAS sama sekali tidak pernah mendabik dada mahupun berlagak untuk bersendirian,” katanya.
Semalam, Umno dan PAS bermesyuarat bagi membincangkan agenda membabitkan MN.
Suhu kerjasama antara dua parti itu menjadi panas susulan Umno mengumumkan tidak akan bersama Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala PAS pula membuat keputusan kekal menjadi komponen PN
Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan pendirian parti itu untuk tidak akan memberi kata dua kepada PAS yang dilihat memilih untuk bersama Bersatu dalam PN. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

